Menurut Ajai, keputusan untuk mengangkat seseorang itu bergelar juara bukanlah daripada minggu pertama lagi kerana ia sukar diramal bagi pihak juri untuk berbuat demikian.
“Sebagi contoh, Raes, ini adalah persembahan yang baik dia pernah buat tetapi rezeki dia tak memihak dari segi ‘fan base’ iaitu undian.
“Setiap minggu kami nantikan apakah yang mereka mampu beri. Jadi ia bukan satu keputusan dari minggu pertama mereka nyanyi dan anggap boleh menang, tidak boleh,” katanya ketika sesi sidang media usai konsert akhir Gimme The Mic pada Ahad.

Ada Kekuatan Tersendiri
Tambah Ajai, setiap finalis mempunyai kekuatan masing-masing malah menyifatkan setiap daripada mereka mempunyai ton suara yang tidak ada pada artis sedia ada.
“Mereka ini datang daripada penapisan professional, mereka bukan datang daripada ada duit buat album.
“Ia seperti zaman Akademi Fantasia kalau kita ingat. Dan daripada zaman itu, apa-apa saja royalty yang datang dari professional punya, mereka ada tapak dalam industri.
“Saya rasa finalis dan peserta yang masuk ini ada kekuatan tersendiri. Mereka bukan hidup dalam satu konsep, tetapi mereka hidup dalam pelbagai konsep dan tone.
“Tiada satu pun tone yang kita dengar ada strereotaip seperti artis-artis yang ada,” ujarnya.
Pada Ahad, Farhan Mustapha diangkat sebagai The Grand Champion Gimme The Mic Malaysia 2024 selepas berjaya meraih markah tertinggi daripada pihak juri.
Farhan membawa pulang hadiah RM10,000 daripada Astro, beserta $2,000 USD (dua ribu dolar AS) daripada TikTok, dan penerbitan sebuah album single tajaan Astro & Rocketfuel.
Farhan dan lima finalis lain bakal mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa bagi berentap di pentas Gimme The Mic Global.