Wujud golongan lelaki yang sering turun ke dapur dan gemar memasak, tetapi ada juga sebahagian lelaki yang tidak mempunyai bakat terbabit.

Lain pula ceritanya dengan penyanyi dan pengacara popular, Alif Satar.

Tidak mempunyai bakat yang luas dalam bidang masakan, Alif bangga apabila pandai memasak hidangan kari kambing dengan menggunakan resipi ibunya.

Menurut Alif atau nama sebenarnya Muhammad Alif bin Mohd Satar, 29, ada beberapa menu masakannya yang boleh dibanggakan.

“Saya hanya pandai masak beberapa menu sahaja, antaranya kari kambing. Menu kari kambing itu paling saya banggakan.

“Resipi tu sendiri diturunkan oleh mama saya. Keluarga kami pula memang berasal dari Pulau Pinang, memang terbaiklah kari tu,” ujar Alif kepada Gempak.

Alif ditemui ketika menjadi pengacara bagi majlis pelancaran label baru jenama minyak ALIF yang berlangsung di Hotel Grand Hyatt, Kuala Lumpur pada Selasa.

Selain gemar menikmati daging kambing, Alif turut berkebolehan memasak kari ikan salmon.

“Rugi siapa yang tak pernah rasa kari ikan salmon. Memang terbaik! Kalau berpeluang rasa, ambil bahagian kepala ikan,” katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, Alif kini sedang sibuk dengan program Big Stage 2.

Dihoskan oleh Alif dan Sherry Alhadad, Big Stage 2 dibawakan kepada anda oleh Vivo selaku penaja utama dan Farm Fresh selaku penaja bersama.

Rancangan ini ditayangkan setiap Ahad jam 9 malam di Astro Ria (104) dan Ria HD (123).

Layari laman web bigstage.gempak.com untuk segala informasi mengenai program ini!