Laman Utama

Had Kad Kredit Najib RM 3 Juta

gempak
Awani
06/09/2022
23:00 MYT
Sponsor Banner
Had Kad Kredit Najib RM 3 Juta
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur diberitahu bahawa Datuk Seri Najib Razak mempunyai dua kad kredit dengan had gabungan berjumlah RM3 juta.
Bekas Naib Presiden Kanan Ambank bagi Credit Card Authorisation and Fraud Management Yeoh Eng Leong, berkata, had bagi dua kad kredit yang dimiliki bekas Perdana Menteri itu adalah "tertinggi" yang diberikan oleh AmBank kepada pelanggannya.
Ini kerana, berdasarkan pengalaman, Eng Leong berkata purata had perbelanjaan yang diberikan oleh AmBank kepada pelanggan adalah sebanyak RM50,000 bagi setiap kad kredit.
Saksi ke-36 pendakwaan itu berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Timbalan Pendakwa Raya Nadia Mohd Izhar dalam perbicaraan Najib berhubung penyelewengan RM2.3 bilion dana milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB),
Eng Leong menambah, ia diberikan selama bertahun-tahun melalui kad kredit Visa Platinum dan kad kredit Master Platinum.
Bagaimanapun, ujarnya kedua-dua kad kredit itu telah dibatalkan pada 11 Mac 2015 tanpa sebarang tunggakan bayaran.
Ujar Eng Leong lagi, berdasarkan penyata, perbelanjaan yang direkodkan bagi dua kad kredit tersebut adalah berjumlah RM103,948.63.
Ahli Parlimen Pekan itu, katanya tidak pernah mempertikaikan transaksi melibatkan kad kredit tersebut.
Memperincikan perbelanjaan, Eng Leong berkata berdasarkan penyata kad kredit Mastercard pada Ogos 2011, terdapat transaksi yang dibuat pada 21 Julai 2011 bagi perbelanjaan penginapan hotel, The Westin Excelsior, Rome sebanyak RM98,013.63.
Bagi penyata September 2011 pula, kad kredit Visa digunakan pada 21 Ogos 2011 untuk tiga transaksi di KLCC iaitu RM4,145 di Butik Aigner, manakala RM910 dan RM880 masing-masing di Butik Hugo Boss.
Sementara itu, ketika pemeriksaan balas oleh peguam Wan Aizuddin Wan Mohammed yang mewakili Najib, pemberian had kredit sebanyak RM3 juta itu adalah berdasarkan pertimbangan terhadap dokumen pendapatan.
Najib, 69, berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung pada Rabu.
Sumber – Awani
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live