Seorang bekas pelakon kanak kanak, Matthew Mindler dilaporkan mati bunuh diri selepas beberapa hari dilaporkan hilang.

Mindler yang kini merupakan salah seorang pelajar di Millersville University di Lancaster County, Pennsylvania, Amerika Syarikat meninggal dunia pada usia 19 tahun.

Sebelum ini, Mindler dikenali sebagai pelakon menerusi filem Our Idiot Brother yang ditayangkan pada tahun. 2011.

Menerusi laporan NBCNews, remaja lelaki yang juga pernah membintangi naskhah Chad: An American Boy, Last Week Tonight with John Oliver dan As the World Turns, disahkan meninggal dunia oleh pihak polis pada Sabtu.

Mayatnya ditemui oleh 40 orang pasukan pencari di kawasan penuh dengan pokok selepas hilang selama tiga hari.

Walaupun punca kematiannya belum diumumkan secara rasmi, namun pihak polis yakin Mindler yang kali terakhir dilihat menghadiri kelas pada 24 Ogos 2021 mati bunuh diri.

Pihak universiti menerusi keterangan yang dibuat secara online mengemukakan paparan video di CCTV universiti yang menunjukkan pergerakan Mindler meninggalkan kelasnya di kawasan West Villages pada pukul 8 malam (24/8/21).

Dia dilihat berjalan ke arah parkir kereta namun tidak pulang lagi ke kampus selepas itu.

"Ini adalah saat yang menyedihkan buat keluarga, rakan dan kampus. Ingatan kami buat mereka dan juga Mindler," ucap Presiden Universiti Millersville, Daniel A. Wubah dalam kenyataan sama.

Sementara itu, TMZ melaporkan, ibu remaja tersebut, Monica Mindler mengesahkan anaknya berhadapan dengan masalah kesihatan mental iaitu anxiety sebelum ini. Namun Monica mengatakan keadaan Mindler baik sebelum ditemui mati membunuh diri.

Monica juga mengatakan Mindler kelihatan gembira sewaktu pertama kali memasuki universiti tersebut pada 19 Ogos 2021. Mereka juga kerap berhubung dan Mindler tidak menunjukkan sebarang ciri yang meragukan.

Malah ibu Mindler mengaku kali terakhir berhubung dengan anaknya pada malam Selasa dengan mengatakan akan mengambilnya pada Jumaat untuk menghabiskan masa bersama kerana sedar dia mempunyai masalah anxiety yang teruk.

"Hati saya tidak dapat menerima realiti ini, tetapi kami sangat menghargai semua doa yang diberikan," kata wanita itu lagi.

Kredit Foto: Getty Images, TMZ