Pendakwah bebas dan penyanyi lagu keagamaan Da’i Syed tampil mengulas mengenai teguran yang dibuat bapanya, Seif Jamalulail di laman sosial Facebook (FB).

Menerusi hantaran tersebut Seif Jamalulail menasihati wanita yang mengaku menjadi mangsa anaknya supaya membuat laporan kepada pihak polis.

Beliau turut memberi peringatan terbuka kepada anaknya itu supaya tidak menggunakan agama dan memohon agar Da’i Syed meninggalkan dunia selebriti.

[[BACA: Ayah Da'i Syed 'Bersuara' - "Kami Dah Letih Nak Hadap Isu Semacam Ini, Apatah Lagi Adik-Adiknya Masih Belajar..."]]

Menjawab tentang reaksi bapanya itu, Da’i Syed mengakui hubungannya dengan bapa keruh sejak awal tahun 2016 kerana Seif Jamalulail tidak bersetuju dia menyertai program realiti Da’i.

Dia turut mengesahkan bapanya kini berada di Cairo selepas meninggalkan ibunya pada tahun 2017.

“Saya percaya keadaan sebenar hubungan di antara saya dan ayah sepatutnya menjadi perkara peribadi yang perlu disimpan sendiri.

“Cukuplah sekadar saya nyatakan bahawa ayah saya telah lama meninggalkan ibu sejak 2017 dan berpindah ke Cairo, Mesir.

“Hubungan di antara kami berdua pula telah keruh seawall 2016 apabila beliau tidak bersetuju dengan pilihan kerjaya hidup saya untuk menyertai program Da’i yang disiarkan di kaca televisyen,” katanya.

Bagaimanapun menurut Da’i Syed, dia mengambil maklum mengenai hantaran dibuat bapanya dan menerima nasihat diberikan dengan hati yang terbuka.

“Atas rasa hormat seorang anak kepada ayahnya saya terima nasihat yang diberikan dengan hati terbuka,” katanya.

Dalam pada itu Da’i Syed turut menuntut pengguna Twitter yang menokok tambah cerita memadam semua kenyataan berunsur fitnah yang ditujukan secara langsung atau tidak langsung dengan segera.

Katanya, dia tidak teragak-agak untuk memulakan tindakan saman fitnah di mahkamah terhadap mana-mana individu yang terlibat.

“Saya telah berbincang dengan pasukan peguam untuk mempertimbangkan beberapa tindakan undang-undang yang boleh diambil terhadap individu-individu yang tidak bertanggungjawab tersebut.

“Ini termasuklah tuntutan saman fitnah bagi mendapatkan ganti rugi berbentuk wang ringgit terhadap kerosakan ke atas imej dan reputasi saya sebagai figura awam,” katanya.


Terdahulu Da’i Syed telah membuat laporan polis terhadap pengguna Twitter @ainunnnajwa yang didakwa melemparkan tuduhan melampau dan fitnah terhadap dirinya.

[[BACA:Dituduh Merogol, Da’i Syed Buat Laporan Polis Terhadap Pengguna Twitter @ainnunnnajwa! ]]