Disebabkan kes penularan Covid-19 masih meningkat saban hari, kerajaan Kelantan bersetuju untuk tidak menggalakkan ibadah korban dijalankan ketika Hari Raya Aidiladha.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Kelantan, Dr Izani Husin berkata, keputusan itu sebagai usaha mengekang penularan Covid-19.

Tambahan pula, ia akan melibatkan aktiviti berkumpulan.

Menurutnya, aktiviti berkumpulan akan memberi risiko kepada penularan pandemik tersebut walaupun masing-masing diminta untuk menjaga prosedur operasi standard (SOP).

“Kita bimbang, masa Hari Raya Aidiladha nanti akan berlakunya ibadah korban sekali gus membabitkan aktiviti berkumpulan.

“Contohnya jika ibadah korban membabitkan seekor lembu, sekurang-kurangnya ia akan dihadiri 10 individu untuk acara penyembelihan dan lapah daging.

“Pada masa sama, daging-daging tersebut perlu diagihkan dan secara tidak langsung akan ada pula pergerakan di situ nanti," katanya kepada Sinar Harian.

Tambah Dr Izani, kebimbangan tersebut juga susulan kes-kes penularan pandemik itu yang masih tinggi di negeri ini selepas Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini.

"Walaupun kes sudah menunjukkan angka menurun, tetapi kami masih bimbang dan jangan sesekali lalai serta leka memandangkan ia boleh naik bila-bila masa jika kita 'lupakan' SOP," katanya.

Sekadar info, sebanyak 60 kluster perayaan dilaporkan bermula 13 Mei hingga 10 Jun, dengan 58 daripadanya melibatkan sambutan Aidilfitri dan dua lagi kluster melibatkan Hari Gawai.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 13,023 individu telah disaring dalam kluster itu dengan 3,511 kes positif Covid-19 telah dikenal pasti menjadikan kadar positif adalah sebanyak 27 peratus.

Daripada jumlah kes positif tersebut, 20 kematian telah dilaporkan dan sehingga kini, 11 kes masih dalam rawatan di unit rawatan rapi (ICU).