Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (Kongres) bersetuju dengan pendapat ibu bapa yang mahukan anjakan tarikh baharu bagi hari pertama cuti persekolahan sempena Aidilfitri ini.

Presidennya, Jasni Md. Kechik berkata, menjadi satu keperluan pihak Kementerian Pendidikan (KPM) mengkaji semula hari permulaan cuti sekolah sempena Aidilfitri bagi mengelak kesesakan jalan raya dan menjamin keselamatan warga guru serta pelajar.

Ia susulan makluman yang dikeluarkan Pusat Astronomi Antarabangsa yang berpangkalan di Emiriyah Arab Bersatu (UAE) kelmarin, menjangkakan negara-negara Islam akan menjalankan kewajipan mencerap hilal bagi menentukan awal bulan Syawal pada 20 April yang berkemungkinan menjadi ­penghujung Ramadan.

Bagi saya amat wajar jika benar hari raya pertama pada Jumaat (21 April 2023), kita memang perlukan cuti yang lebih awal sebagai persiapan raya.

“Pendapat saya, pa­ling tidak diawalkan pada Rabu (19 April), dan kita ada masa dua hari lebih awal sebelum meraikan Aidilfitri,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Ujarnya, mengikut jadual asal yang dikeluarkan KPM, cuti sekolah bagi semua sekolah di Malaysia bermula 20 April disebabkan jangkaan tarikh 1 Syawal adalah pada 22 April.

Ini bermakna satu hari cuti tambahan untuk sekolah kumpulan A (Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu) dan dua hari cuti tambahan untuk sekolah kumpulan B.

“Kalau benar raya lebih awal, KPM boleh sedia garis panduan baharu untuk pihak sekolah memilih tarikh lain untuk digantikan sesi persekolahan yang terbatal ekoran cuti raya diawalkan,” katanya.

Tambahnya, dia percaya KPM juga ambil maklum situasi ini dan akan bertindak segera mengikut kesesuaian semasa. -KOSMO! ONLINE