Pelakon Wanna Ali meluahkan rasa kecewa apabila filem pertama lakonannya, Ada Apa Dengan Dosa telah dicetak rompak dan dijual di sebuah laman e-dagang.

Menurut Wanna, perkara itu telah mendatangkan kekecewaan kepada para pelakon dan pihak produksi kerana mereka sudah berusaha keras untuk menghasilkan sebuah karya yang berkualiti.

"Saya amat kecewa, ini merupakan filem pertama lakonan saya, para pelakon dan pihak produksi telah berusaha keras hingga menjalani penggambaran di luar negara untuk menghasilkan sebuah karya yang berkualiti.

"Kalau macam ni, macam mana kami nak jana balik pendapatan? Dan macam mana industri hiburan kita nak maju?" katanya kepada Gempak.

Wanna berkata demikian ketika ditemui di sidang media anjuran Gabungan Anak Seni di Petaling Jaya sebentar tadi.

Tambah Wanna, dia yakin pelakon lain juga mengerti tentang isu cetak rompak yang sudah lama berleluasa di Malaysia.

"Isu cetak rompak sudah lama berleluasa di negara kita. Saya harap masalah ini dapat ditangani dengan segera.

"Mungkin suara atau pendapat saya kecil sahaja, tetapi saya yakin pelakon lain juga akan mengerti dan mempunyai pendapat yang sama jika isu sebegini membabitkan mereka," tambahnya.

Menerusi laporan Gempak semalam, penerbit Pencil Pictures & Records, Datuk Ayu Puteh yang juga ibu kepada Wanna akan mengambil tindakan undang-undang terhadap laman e-dagang yang menjual filem terbitannya, Ada Apa Dengan Dosa (AADD) dengan harga murah.

Menurut Ayu atau nama sebenarnya, Normashayu Puteh, 43, pihaknya telah mengumpulkan segala bukti yang berkaitan bagi memulakan tindakan undang-undang terbabit.

BACA : Naik Hantu Bila Filem Jadi Mangsa Cetak Rompak, Penerbit Ada Apa Dengan Dosa Nak Saman RM50 Juta!