Malindo Air pada Jumaat mengumumkan kebocoran data pelanggan ke dalam talian baru-baru ini, telah ditangani.

Ketua Pegawai Eksekutif Kapten Mushafiz Mustafa Bakri berkata dua bekas kakitangan penyedia perkhidmatan e-dagang syarikat itu dari GoQuo (M) Sdn Bhd di pusat pembangunannya di India telah mengakses dan mencuri data peribadi pelanggan Malindo Air, lapor BERNAMA yang dipetik dari portal Astro Awani.

"Perkara itu telah dilaporkan kepada polis Malaysia dan India," katanya dalam satu kenyataan.

Syarikat penerbangan itu telah bekerja rapat dengan semua agensi yang berkaitan, termasuk Agensi Keselamatan Siber Negara (Nacsa) dan Suruhanjaya Perlindungan Data Peribadi Malaysia serta pihak berkuasa lain di luar negara.

"Kami ingin menegaskan bahawa kes ini tidak ada kaitan dengan keselamatan seni bina data atau pembekal awan kami, Amazon Web Services.

"Semua sistem Malindo Air dijamin sepenuhnya dan tiada maklumat pembayaran pelanggan yang terjejas akibat perbuatan berniat jahat ini," kata Mushafiz.

BACA: Mangsa Siber Terbaru, Data Penumpang Malindo Air Bocor!

Sebagai langkah proaktif, khidmat pakar-pakar forensik data dan keselamatan siber telah digunakan bagi mengkaji semula semua proses dan infrastruktur data yang sedia ada.

"Kami juga telah memulakan pengesetan semula automatik semua kata laluan pelanggan dan menasihati pelanggan kami untuk berhati-hati dengan sebarang panggilan atau e-mel yang mencurigakan," katanya.

Sumber: BERNAMA / Astro Awani