GAYA HIDUP
Kelantan Lancar Projek Landfill Mining & Bio-Drying Pertama Di Malaysia - "Membantu Tangani Masalah Pelupusan Sisa ..."
Kelantan mencatat sejarah tersendiri apabila melancarkan Projek Landfill Mining & Bio-Drying pertama di Malaysia, yang menandakan langkah besar negeri ini dalam pengurusan sisa pepejal secara moden dan lestari.
Tapak pelupusan Beris Lalang, yang sebelum ini hanya menjadi tempat pelupusan konvensional, kini bernafas baharu melalui penggunaan teknologi terkini yang menumpukan kepada pemulihan sisa tertanam.
Projek ini diterajui oleh Dwitekno Sdn Bhd dengan kerjasama Pengurusan Sisa Pepejal Mubaarakan Sdn Bhd (PSPM), dan disokong oleh Kerajaan Negeri Kelantan. Teknologi yang diperkenalkan bukan sahaja mengurangkan kebergantungan kepada pelupusan tradisional, tetapi juga memulihkan semula sisa bernilai seperti plastik, logam dan bahan organik.
.jpg)
Menurut Pengarah Urusan Dwitekno, Mohd Fadzil Zamrod, projek ini telah beroperasi sepenuhnya sejak Januari lalu dan disasarkan untuk menjadi model rujukan nasional.
“Kami bukan sekadar melupus sisa, tetapi menghidupkan semula bahan yang telah tertanam. Bahan organik diproses menjadi kompos, plastik dan logam dikitar semula, malah ada yang boleh dijadikan bahan api industri melalui teknologi pirolisis,” katanya.
Proses rawatan utama menggunakan teknologi bio-drying, iaitu pengeringan bahan organik secara semula jadi menggunakan tindak balas mikroorganisma dan aliran udara, tanpa penggunaan haba buatan. Hasilnya ialah kompos berkualiti tinggi, menjimatkan tenaga dan mesra alam.
Ketika ini, tapak Beris Lalang memproses kira-kira 50 tan sisa sehari, dan dalam tempoh empat tahun, ia dijangka meningkat kepada 500 tan sehari. Dianggarkan 30% daripada sisa akan diubah menjadi baja organik, manakala 20% lagi terdiri daripada bahan kitar semula atau bahan api industri.
“Tapak ini sebelum ini menampung lapisan sisa setinggi 30 meter yang terkumpul sejak lebih 15 tahun. Kini kami melihat peluang besar untuk memanjangkan hayat tapak serta meminimumkan kesan terhadap alam sekitar,” jelas Fadzil.
Tambah beliau, kompos yang dihasilkan kini telah digunakan oleh petani tempatan dan pihak syarikat menyasarkan penggunaannya diperluas ke ladang komersial dan pekebun kecil di seluruh negara.
Majlis perasmian turut diserikan dengan kehadiran Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Hilmi Abdullah, yang menyatakan sokongan padu kerajaan negeri terhadap inisiatif ini. Beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan negeri bercadang memperluaskan teknologi ini ke lokasi lain seperti Tumpat, Kok Bedollah, yang mempunyai kawasan lebih 90 ekar.
“Projek ini bukan sahaja membantu menangani isu pelupusan sisa, malah membuka ruang kepada kerjasama kerajaan, industri dan komuniti dalam memperkukuh ekonomi kitaran,” katanya.
Antara harapan jangka panjang projek ini termasuk:
- Menjadikan Beris Lalang sebagai tapak rujukan nasional untuk teknologi landfill mining.
- Memperluaskan teknologi ini ke seluruh negara, dengan fokus pada impak ekonomi dan kelestarian.
- Menggalakkan pengasingan sisa di punca serta meningkatkan kesedaran awam tentang potensi ekonomi bahan buangan.
Must-Watch Video