Band Akim & The Majistret tampil menjelaskan tiada mesej politik diselitkan dalam lagu terbaharu mereka, Rampas.

Jelas Akim, bagaimanapun ia terpulang pada penerimaan dan pemahaman individu terhadap lirik yang ditulis untuk lagu berkenaan.

"Ia terpulang pada pendengar sebenarnya. Kalau rasa kita dirampas, itu terpulang.

"Kami meneliti keinginan, apa yang orang mahukan dan situasi yang menarik perhatian," jelasnya ketika ditemui selepas Tremendous Joox Live Concert di KLCC baru-baru ini.

Pilihan Raya Umum ke-14 pada Mei lalu menyaksikan peralihan kuasa kerajaan pemerintah daripada Barisan Nasional (BN) kepada Pakatan Harapan (PH) selepas 60 tahun.

Lagu Rampas menariknya ditulis sendiri oleh isteri Akim, Stacy Anam.

"Rampas bunyi kasar tetapi itu yang Stacy nampak. Dia ada perasaan itu, iaitu merintih yang agresif.

"Stacy ada ayat-ayat jalanan dalam lirik yang Akim & The Majistret ingin sampaikan dan saya berjaya keluarkan keistimewaan isteri saya dalam lagu ini.

"Ia antara karya penulisan Stacy terbaik!" tambahnya.

Rampas dicipta selepas kematian ibu Akim, Aminah Bahari, 54, sekitar bulan Mei lalu.