VIRAL
Lelaki Direman Tiga Hari Akibat Fitnah Siber, Tuduh Satu Keluarga ‘Scammer’
Seorang lelaki tempatan berusia 33 tahun dari Paya Ikan, Melaka Tengah, telah ditahan dan direman selama tiga hari bermula 13 Julai 2025 di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam.
Penahanan ini dibuat susulan beberapa laporan polis yang difailkan oleh sekeluarga berikutan tindakan buli siber dan penyebaran fitnah berterusan oleh suspek sejak lebih setahun lalu.
Siasatan awal mendapati suspek telah menyebarkan tuduhan palsu secara konsisten di media sosial terhadap ahli keluarga berkenaan, menuduh mereka sebagai ‘scammer’ atau penipu dalam urusan kewangan.
Fitnah yang tidak berasas itu dilakukan secara terbuka dan berulang kali, sehingga menjejaskan nama baik serta keselamatan keluarga terbabit.
Mangsa pertama dalam siri fitnah ini ialah seorang lelaki, adik kepada keluarga tersebut, yang dituduh sebagai scammer.
Suspek kemudian menyasarkan ibu lelaki itu, Puan Juriah binti Ab Hamid, dengan dakwaan serupa. Tidak lama selepas itu, adik perempuan lelaki berkenaan turut difitnah terlibat dalam penipuan kewangan.
Difahamkan, keluarga mangsa telah membuat beberapa laporan polis sejak insiden pertama berlaku. Namun, siasatan awal tidak membawa kepada tindakan lanjut kerana kekurangan bukti teknikal.
Situasi menjadi lebih serius apabila suspek bertindak memuat naik maklumat peribadi ahli keluarga tersebut ke media sosial, termasuk gambar kad pengenalan, salinan pasport, serta foto rumah mereka di Melaka.
Tindakan ini bukan sahaja mencabul privasi, tetapi juga menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan fizikal keluarga tersebut. Susulan perkembangan itu, satu laporan baharu dibuat dan polis bertindak pantas menahan suspek untuk siasatan lanjut.
Pihak polis mengesahkan bahawa siasatan kini dijalankan di bawah tiga peruntukan undang-undang:
Seksyen 500 Kanun Keseksaan — berkaitan dengan kesalahan memfitnah secara jenayah, yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun, atau denda, atau kedua-duanya.
Seksyen 507 Kanun Keseksaan — membabitkan ugutan jenayah yang dibuat secara rahsia atau tanpa nama, termasuk melalui saluran komunikasi. Kesalahan ini boleh dikenakan penjara dua tahun, atau denda, atau kedua-duanya.
Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 melibatkan penggunaan tidak wajar rangkaian komunikasi, termasuk penyebaran maklumat palsu atau berunsur gangguan.
Sabit kesalahan boleh membawa hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum satu tahun, atau kedua-duanya.
Keluarga mangsa yang terdiri daripada Puan Juriah binti Ab Hamid, Muhammad Afique bin Ab Mahat, Dr Diyana Mahat dan Puan Mardiah Ab Mahat telah mengalami tekanan emosi yang teruk akibat fitnah berpanjangan.
Mereka turut menjadi sasaran kecaman netizen yang mempercayai tuduhan tanpa sebarang bukti sahih.
Menurut wakil keluarga, mereka kini sedang mendapatkan khidmat guaman untuk mempertahankan maruah dan nama baik mereka di mahkamah.
“Ini bukan sekadar isu peribadi, tetapi isyarat bahawa penyalahgunaan media sosial tidak boleh terus dibiarkan. Tindakan perlu diambil supaya perkara sama tidak berlaku kepada orang lain,” tegas wakil keluarga dalam satu kenyataan.
Kes ini menjadi peringatan bahawa penyebaran maklumat palsu di media sosial bukan sahaja mencemarkan reputasi, tetapi boleh mengheret pelaku ke muka pengadilan.
Siasatan lanjut masih dijalankan oleh pihak berkuasa.
Must-Watch Video