Sejak beberapa hari kebelakangan ini, nama bekas pemain badminton beregu lelaki Malaysia, Tan Boon Heong yang juga pemegang rekod dunia (Guinness World Record) bagi smash terpantas dalam dunia (lelaki) dengan kelajuan 439km/j menjadi hangat dalam kalangan netizen.

Sifat santai dan bersahaja Boon Heong sewaktu menjadi komentator dalam ulasan sukan badminton yang berlangsung di temasya Olimpik Tokyo 2020 di Astro Arena baru baru mencuri perhatian.

Selepas menasihatkan para pemain agar jangan 'kangcheong' dalam perlawanan, pengakuan dirinya pernah 'sembahyang kuat' tapi tewas dan meminta rakyat Malaysia agar sembahyang kuat sewaktu masih berada di gelanggang juga membuatkan pemain kelahiran Alor Setar, Kedah ini trending.

Terkini, lelaki berusia 33 tahun ini sekali lagi mencuri perhatian sekaligus membuat netizen terutama yang mengikuti akaun Tiktoknya terhibur apabila Boon Heong mempamerkan bakat nyanyian.

Apa yang mencuri perhatian dan membuat netizen kagum adalah lelaki berbangsa Cina ini mendendangkan lagu popular kumpulan dari Indonesia, Peterpan yang kini dikenali sebagai Noah.

Menerusi siaran langsung di akaun Tiktok yang dibuat rakan regu Koo Kien Keat yang pernah digelar sebagai beregu emas Malaysia ini semalam, Boon Heong dilihat menyanyikan lagu berjudul Mungkin Nanti yang pernah menjadi hit pada sekitar tahun 2004 dan 2005.

"Dan mungkin bila nanti..." nyanyinya sebelum ketawa dan memberitahu ingin menyambung kerja.

Kefasihannya menyanyi dalam bahasa Indonesia dengan suara yang boleh tahan 'tak koyak' mendapat pujian dalam kalangan netizen yang menonton aksinya itu.

Dia kemudian meninggalkan ciapan di akaun Twitter mengenai aksinya itu juga tak kurang mendapat perhatian.

"Aku buka live kat TikTok 3.8 ribu orang tengok. Then aku nyanyi terus viewer drop hahahahahahaha," cuit Boon Heong yang kemudian mendapat ribuan respon dalam kalangan pengguna Twitter.



Sementara itu Boon Heong yang baru memiliki akaun Twitter beberapa hari lalu kini sudah memiliki lebih 46 ribu followers dan salah seorang yang menjadi pengikutnya dalam platform tersebut adalah mantan Perdana Menteri Malaysia, Najib Razak.

Dia juga sudah membuat 75 cuitan termasuk mengaku hanya bergurau untuk kembali mewakili Malaysia dalam sukan tersebut pada tahun 2024 kelak.

"Pasal aku cakap nak comeback 2024 kan, aku kelentong saja, mana boleh main lagi.

"Otak boleh pergi, tangan jahat, tapi badan dah tua, tak larat nak main. Tengok bolehlah, jadi komentator bolehlah.

"Kalau nak main lagi penat, tak payahlah confirm kalah punya. Lebih baik kita jadi penonton, jadi penonton lagi syok," akuinya.

Twitter: @tanboonheong3