Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Ahmad Idham Ahmad Nadzri menegaskan pihaknya tidak akan menyekat pengguna platform media sosial seperti YouTube, Instagram dan TikTok.

Menurut Idham Lesen Pengeluaran Filem dan Surat Perakuan Penggambaran (SPP) adalah untuk golongan profesional yang menggunakan platform yang lebih besar seperti stesen televisyen dan layar perak.

“Kami tidak akan menyekat atau menyukarkan generasi baru yang terlibat dalam penggunaan platform seperti TikTok, YouTube dan Instagram untuk berkarya kerana saya yakin itu merupakan platform terawal yang mereka gunakan untuk menonjolkan bakat mereka.

"Malah kita lebih suka dan beri galakan dengan memberi geran mikro kepada golongan terbabit menghasilkan lebih banyak isi kandungan untuk pelantar media sosial.

“Saya mahu jelaskan di sini, lesen itu hanya diperlukan oleh golongan professional seperti penerbit filem untuk menayangkan karya mereka di stesen televisyen atau panggung wayang sahaja,” katanya.

Idham dihubungi oleh Astro Gempak selepas tular mengenai berita kononnya pengguna platform media sosial seperti YouTube, Instagram dan TikTok untuk memohon Lesen Pengeluaran Filem dan Surat Perakuan Penggambaran (SPP)

BACA: "Pengguna Media Sosial Tak Perlu Minta Lesen" - Saifuddin

Pun begitu, Idham mengingatkan agar pengguna media sosial lebih berhati-hati kepada sindiket penipuan.

“Saya percaya platform sebegini amat mudah untuk anak muda menonjolkan bakat.

“Tapi saya harap mereka akan lebih berhati-hati kerana ada juga yang menjadi mangsa penipuan pihak yang tidak bertanggungjawab,” pesannya.

Pada Khamis, satu media melaporkan Saifuddin sebagai berkata, semua penerbit filem termasuk agensi media arus perdana dan media persendirian diwajibkan memohon Lesen Pengeluaran Filem serta Surat Perakuan Penggambaran (SPP) sebelum menerbitkan filem mereka di platform media sosial ataupun saluran tradisi.