Seremban, daerah yang bakal diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula Khamis (5 November) hingga 18 November diduga dengan kejadian banjir kilat sejak 12.30 malam tadi (Rabu).

Kawasan terjejas ialah Taman Happy dan Kampung Datuk Mansor di Rasah; Blok C Ampangan, Taman Bukit Chedang, Kampung Batu Tiga Mambau, Taman Angsamas dan Kampung Linsum, Kampung Kuala Sawah serta Siliau di Rantau.

Pegawai Operasi Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Seremban, Lt (PA) Mohd Najib Abd Karim berkata, kawasan yang paling teruk terkesan adalah Taman Happy, Kampung Datuk Mansor dan Kampung Batu Tiga apabila air naik lebih dua meter.

Pihaknya percaya banjir kilat kali ini antara yang teruk melanda kerana limpahan air dari Sungai Temiang dan Sungai Linggi menyebabkan sebahagian kenderaan penduduk hampir tenggelam.

Difahamkan ini kali pertama banjir besar di kawasan perkampungan itu sejak 20 tahun berlaku dan membabitkan 50 keluarga.

Meninjau ruangan komen di Twitter, rata-ratanya menzahirkan rasa kebimbangan dan prihatin terhadap nasib yang menimpa penduduk di kawasan terbabit yang diduga serentak dengan banjir dan PKPB.

"Kasihan juga Seremban ni, dahlah PKPB, banjir pula," ciap seorang pengguna di Twitter.

"Sedihnya Seremban. Macam mana semua ni terjadi?" tambah pengguna lain.

"Seremban jarang banjir jadi bila banjir rasa sedih tengok sebab tak sangka hujan lebat semalam," sahut pengguna lain pula.

"Teruk ya banjir kat Seremban. Semoga tabah yang terlibat," tulis pengguna lain.

Sumber & foto: Harian Metro, Bernama, Twitter