Anak syarikat penerbangan tambang murah Lion Air termasuk Malindo Air dan Thai Lion Air telah menjadi mangsa serangan siber terbaru apabila jutaan data penumpangnya telah diceroboh.

Menerusi laporan dikeluarkan South China Morning Post (SCMP), data penumpang termasuk nombor pasport, alamat rumah dan nombor telefon disebarkan menerusi forum pertukaran data dalam talian.

Difahamkan, kebocoran ini dikenal pasti berlaku sejak minggu lepas.

Sementara itu, pihak Malindo Air sendiri telah mengesahkan hal ini.

Ketua Pegawai Operasi Malindo Air, Chandran Rama Muthy berkata, syarikat penerbangan itu sedang menjalankan siasatan berhubung perkara berkenaan dan telah menghubungi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

“Kami mendapat tahu tentang pencerobohan ini minggu lepas. Kami serta vendor pihak ketiga sedang memeriksa isu ini dan akan keluarkan kenyataan dalam masa terdekat.

“Kami juga akan menasihatkan penumpang berdasarkan keputusan siasatan,” katanya kepada SCMP.