Rancangan masakan dan bual bicara santai Famous 2 Famous kembali lagi untuk musim keempat yang memaparkan barisan selebriti dan invididu berpengaruh di Malaysia menonjolkan bakat memasak.

Kata hos rancangan itu, Raifanabillah Zulkifli musim keempat bakal menampilkan barisan selebriti popular yang turut berkongsi perihal yang penonton selama ini tidak tahu selain memasak semata-mata.

"Kami memilih selebriti dan individu yang berjaya dan dijadikan idola ramai. Malangnya pada musim ini tiada atlet sepertimana musim-musim terdahulu.

"Selain memasak, rancangan ini akan membongkar perkara yang audien tidak tahu mengenai personaliti itu selama ini," katanya pada sidang media rancangan Famous 2 Famous di Berjaya Times Square semalam.

Kata Raifanabillah, dia teruja digandingkan bersama selebriti yang sebenarnya memiliki kemahiran memasak yang mengagumkan.

"Tetamu kita semuanya boleh memasak dan hebat-hebat walaupun lelaki.

"Seperkara yang tidak boleh dilupakan apabila pelakon Sangeeta Krishnasamy menukar resipi saat-saat akhir kerana tersalah beli tepung," tambahnya.

Rancangan memasak 13 episod yang berdurasi 24 minit itu menampilkan selebriti dan personaliti hebat tanahair dan disiarkan di Bernama News Channel saluran Astro 502, unifiTV 631, MYTV121, Iflix serta secara langsung di Youtube BNC bermula 3 Ogos lepas.

Antara personaliti yang menjayakan rancangan tersebut ialah Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh, dan selebriti seperti Misha Omar, Syamel, Saiful Apek dan Amber Chia.