Tindakan seorang lelaki keluar mencari rezeki ketika dalam tempoh Pergerakan Kawalan Pergerakan (PKP) ini menyentuh hati warganet.

Bergelar seorang ayah menjadi tugasnya untuk mencari rezeki halal buat ahli keluarga tersayang yang sedang menanti di rumah.

Seorang pengguna Facebook (FB), Alin Taharin mendedahkan lelaki tersebut tidak meminta sedekah namun menjual tudung demi keperluan anaknya di sebuah stesen minyak.

"Terserempak dengan sedara ni di Petronas Seberang Jaya. Sedara ni bukan meminta tetapi menjual tudung demi keperluan anaknya. Keprihatinan anda membuktikan kemuliaan hati emas anda," kongsinya.

Lelaki tersebut meletakkan kadbod di bahagian tempat duduk motosikal untuk memaklumkan dia menjual tudung.

"Saya jual tudung sebab nak beli susu dan lampin," tulisnya beserta emoji senyum.



Menjengah di ruangan komen, rata-ratanya simpati dengan nasib yang menimpa lelaki tersebut bersama keluarganya.

Malah, ramai juga memuji sikapnya yang masih menggunakan tulang empat kerat untuk mencari rezeki.

"@Adlina Aish: Bagus dia. Alhamdulillah dia berusaha demi kelangsungan hidup.

"@Chenta Mila" Kalau ada sesiapa yang pi situ boleh minta nombor telefon abang ni bagi saya nah. Kalau boleh tanya sekali susu apa dan pampers saiz apa," antara komen ditulis.

Kisah ini turut ditularkan di FB Penang Kini bagi memperluaskan lagi bantuan yang boleh diberikan kepada keluarga ini.



Ayah memang seorang hero! Kami di Gempak mendoakan agar Allah permudahkan urusan orang yang dalam kesempitan hidup sepanjang PKP.

Buat pembaca Gempak, anda juga boleh jadi hero!

Pastikan anda selalu mencuci tangan, pakai topeng muka, gunakan 'sanitizer', kurangkan aktiviti di luar rumah serta lakukan semua perkara yang boleh mencegah COVID-19!