Seorang penghantar makanan e-hailing GrabFood yang dikenali sebagai Syahrain Fadzil menarik perhatian ramai apabila bekerja walaupun tanpa tapak tangan.

Menerusi laman sosial Facebook, seorang pengguna Edmund Gun bercerita momen ketika mengambil pesanan minuman yang dihantar oleh Syahrain.

“Sepanjang tempoh PKP, saya jarang keluar untuk mengambil makanan yang dipesan dan hanya meminta penghantar sangkut makanan di depan pintu, tetapi semalam abang rider ini meminta saya untuk menolongnya.


“Saya terus keluar untuk mendapatkan minuman yang dipesan dan saya sangat terkejut apabila melihat abang rider ini tekun bekerja walaupun kedua belah tapak tangannya hilang.

“Saya kaku sekejap dan apabila dia melihat keraguan di wajah saya, abang tu berkata: “tak payah cari, memang tak ada”.

“Dia masih boleh keluar bekerja, menunggang motosikal tanpa tapak tangan! Saya sangat kagum,” tulis Edmund menerusi satu hantaran.



Malah sebelum masuk ke rumah, Edmund sempat mengambil sekeping swafoto bersama Syahrain sebagai tanda kenangan.

Tambah Edmund lagi, Syahrain bukan dilahirkan cacat tetapi dia kehilangan dua tapak tangannya apabila terlibat dalam satu kemalangan semasa sekolah rendah dan ia telah mengubah hidupnya sejak itu.

“Daripada dia, saya dapat melihat ketekunan hidup. Dia optimis dan ceria, dan tidak pernah menggangap kecacatan fizikal sebagai halangan untuk hidup.

“Saya percaya inilah istilah yang mencerminkan mood orang ramai setelah hampir sebulan setengah PKP dilaksanakan, anda akan merasa bingung. Adakah anda berada di zon selesa? Saya tersentuh dengan semangat bekerja Syahrain,” tulis Edmund lagi.



Meninjau ke ruangan komen, ramai wargamaya yang mengambil inspirasi dan turut sama mengagumi semangat yang ditunjukkan oleh Syahrain.

“Pemuda yang baik. Walaupun cacat, tetap memiliki semangat yang kuat untik terus berusaha,” komen seorang wargamaya.

“Saya baca dengan sepenuh jiwa saya. Dia memberi ilham kepada ramai manusia normal dan orang kelainan upaya di luar sana,” kata seorang wargamaya.

“Ini adalah kisah motivasi yang akan mendorong kita untuk mengikuti impian kita, memperlakukan orang lain dengan kebaikan dan tidak pernah menyerah dengan diri sendiri,” ujar seorang wargamaya lagi.

Terima kasih kepada Edmund atas perkongsian kisah inspirasi dan untuk Syahrain, anda memang hero!



Kami di Gempak sentiasa mendoakan kesejahteraan frontliner dan individu yang bertugas ketika penularan wabak COVID-19 ini.

Buat pembaca Gempak, anda juga boleh jadi hero!

Pastikan anda selalu mencuci tangan, pakai topeng muka, gunakan 'sanitizer', kurangkan aktiviti di luar rumah serta lakukan semua perkara yang boleh mencegah COVID-19.