Pelakon dan pengacara Neelofa memberi kata-kata semangat kepada warga Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya yang dikehendaki mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

PKPB telah bermula pada jam 12.01 tengah malam, mulai 14 Oktober hingga 27 Oktober.

Menurut Neelofa, 31, dia percaya kita semua boleh menangani wabak ini sekiranya bersepakat.

"Saya tahu ketika ini semua orang mempunyai perasaan yang bercampur baur tetapi ini merupakan salah satu cara terbaik bagi menangani penularan wabak Covid-19.

"Saya percaya yang kita semua mampu menghadapinya bersama. Ikutilah SOP dan hanya keluar rumah jika ada urusan penting sahaja. Paling penting sekali, kita jaga kita," tulisnya di laman Twitter pada Selasa.Dalam pada itu, bekas hos MeleTop tersebut berharap agar tempoh PKPB ini tidak menjejaskan peniaga-peniaga kecil.

Justeru, pemilik nama Noor Neelofa Mohd Noor menyeru agar ramai-ramai bantu mempromosi dan membeli barang produk tempatan.

"Mendoakan dan berharap, agar PKPB kali ini tidak terlalu memberi kesan kepada peniaga-peniaga kecil secara khususnya dan rakyat secara amnya.

"Jom kita sokong sesama kita. Berbelanja dengan peniaga kecil, bantu promosi. Utamakan produk tempatan!" tulisnya lagi.