Restoran dan kedai makan tidak dibenarkan memberi perkhidmatan untuk 'dine-in' atau makan dalam kereta pelanggan di kawasan yang terbabit Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata selagi tidak ada prosedur operasi standard (SOP) baharu dikeluarkan larangan terhadap aktiviti itu masih berkuat kuasa dan perlu dipatuhi.

Aktiviti 'dine-in' dalam kenderaan ini mungkin suatu idea baharu selepas larangan untuk makan di dalam premis dikuatkuasakan. Walaupun aktiviti itu diadakan secara ahli keluarga ia masih tidak dibenarkan dan melanggar SOP.

"Orang ramai dan pengusaha premis makanan dinasihatkan supaya menghentikan aktiviti ini dan hanya dibenarkan bawa pulang supaya tidak dikenakan tindakan," katanya pada sidang media Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Pesta Kaamatan dan Hari Gawai 2021 secara maya, semalam.

Kerajaan sebelum ini mengeluarkan SOP tidak membenarkan sebarang penganjuran majlis dan aktiviti 'dine-in' di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pada 5 Mei lalu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengumumkan majlis sosial termasuk membabitkan majlis rasmi dan tidak rasmi kerajaan serta swasta dan majlis sosial mengadakan aktiviti 'dine-in' adalah dilarang.

Ia membabitkan majlis sosial seperti kenduri, perkahwinan dan pertunangan, resepsi, majlis aqiqah, doa selamat, tahlil, sambutan hari ulang tahun, 'reunion' dan 'retreat' di semua kawasan PKP.

BH hari ini melaporkan kenyataan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail bahawa premis makanan yang menyediakan layanan 'dine-in' dalam kereta di Sarawak adalah melanggar prosedur SOP dan tindakan kompaun boleh dikenakan terhadap pengusaha premis yang menyediakan layanan sedemikian.

Pengusaha premis makanan yang menghantar makanan secara hidangan kepada pelanggan untuk makan dalam kenderaan, melanggar pematuhan SOP.

Setakat ini, sebuah premis makanan di Miri dikompaun pada Jumaat lalu kerana menyediakan layanan sedemikian. Bagaimanapun, sekiranya pelanggan membeli secara bungkus dan makan di dalam kenderaan mereka sendiri, ia tidak menjadi kesalahan.

Sumber: BH Online

Foto: Free Malaysia Today