Hiburan
Nyala Fest 2024, Festival Muzik Lokal Kualiti Internasional & Patut Dicontohi
Ada banyak perkara yang terbaik dan perlu dipelajari daripada penganjuran festival muzik, Nyala Fest 2024 yang berlangsung pada 30 November lalu.
Kita telusuri satu per satu (meski mungkin tidak semua terutama bab teknikal yang diulas di sini) tentang Nyala Fest 2024.
Nyala Fest 2024 yang dianjurkan RF3 Entertainment dengan kerjasama Wolfstrike Brothers bersama Neptunes Presents sesungguhnya patut dibanggakan oleh seluruh pihak dan tim yang terlibat sejak awal perancangan sehingga ia terlaksana.
Semuanya hampir sempurna. Sebelah pagi diisi dengan pelbagai aktiviti bercorak seni dengan vendor jualan bertema ‘healing’ dan tidak terlalu sesak.
Lokasi yang dipilih iaitu Stadium Hoki Bukit Jalil dilihat sangat bertepatan kerana penonton yang memegang tiket duduk tidak terlalu jauh sehingga hanya perlu melihat pemuzik di panggun seperti ‘batang mancis’.
Apa lagi buat pemegang tiket berdiri ; dengan pembahagian yang teratur membuat tidak ada penonton rasa tidak terpuaskan lalu merusuh.
Kita pergi ke bahagian panggung atau pentas dan kesan bunyi di Nyala Fest 2024 — terbaik dengan kualiti antarabangsa.
Ironi tidak ada yang extravaganza terhadap panggung ini. Empat segi, hitam dengan lampu-lampu pentas pelbagai warna siap membantu ‘menghidupkan’ persembahan setiap pemuzik di Nyala Fest.
Dan tentulah paling penting untuk menikmati sesuatu yang dipanggil muzik adalah bunyian yang sedap di telinga.
Daripada permainan muzik lokal seperti Fugo sehingga penutup Nyala Fest 2024 malam itu oleh Diskoria, bunyi yang keluar konsisten. Sedap dan tidak berubah sama ada vokal penyanyi tenggelam timbul atau instrumen ‘bingit’ juga ada yang tidak dapat didengar.
Menyentuh tentang pemilihan barisan pemuzik yang mengisi Nyala Fest 2024 pula memang menyala!
Feby Putri, Pamungkas, Bernadya, Romantic Echoes, Bilal Indrajaya dan David Bayu yang diterbangkan dari Indonesia telah ‘melahirkan’ keberagaman generasi pendengar dan tentu sahaja pemilihan mereka telah menarik kelompok peminat untuk berkampung di satu lokasi lalu menikmati semua muzik yang dipersembahkan.
Paling penting, barisan pemuzik yang bermain di Nyala Fest tidak dilihat berulang kali mengisi panggung pesta atau festival lain yang meriah dianjurkan sekurangnya untuk tempoh satu tahun ini.
Barisan Pemuzik ‘Gila’
Pemuzik mana paling ‘gila’ atau pecah? Semua. Penulis ulang, semua.Arakian ini kerana tidak seorang pun pemuzik yang mengisi panggung Nyala Fest 2024 membuat persembahan ala kadar atau kerana dibayar maka pekerjaan perlu dilaksanakan.
Baik Bilal Indrajaya yang telah menyihir peminat dengan ‘kelembutan’ karyanya, Feby Putri yang sudah membuat penontonnya galau di petang hari membawa kepada persembahan Noh Salleh yang berkualiti membawa kepada kugiran Romantic Echoes yang ternyata sudah punya kelompok peminat cukup ramai, semuanya mengujakan.
Lalu apabila malam pesta disambung terus dengan persembahan Pamungkas yang cukup meninggalkan kenangan manis sebelum pelantun Untungnya, Hidup Harus Tetap Berjalan iaitu Bernadya, Nyala Fest 2024 jadi semakin tidak terkendali sambutannya.
Bernadya, si gadis 20 tahun dengan suara merdu dan karya-karya sederhana tetapi mengesankan tidak keterlaluan telah menjadi penampilan yang sangat ditunggu peminat generasi Alpha memandangkan Nyala Fest 2024 menjadi pentas berskala besar pertama buatnya muncul di Malaysia.
Dan saat David Bayu, mantan vokalis Naif tampil dengan gaya ‘gila’ dan energatiknya, beliau telah mencetus gelombang generasi otai pula menikmati Nyala Fest 2024.
Sedar barangkali tidak semua mengenalinya, pemilik vokal dengan ciri khas yang kini hit dengan karya solo yang dipersembahkan malam itu iaitu Deritaku, bijak mengendali peminat.
Selain dengan ikhlas hati mendendangkan lagu yang diminta peminat secara langsung serta tembang wajib iaitu Benci Untuk Mencinta, David Bayu turut membuat seluruh stadium gempita sewaktu beliau mendendangkan lagu popular Slam, Gerimis Mengundang.
Tentu sahaja Diskoria menjadi pemuzik paling sesuai menutup Nyala Fest 2024 sebagai satu pesta yang tidak boleh dilupakan.
Dilaksanakan dengan sederhana namun Nyala Fest 2024 yang pada waktu sama mengajak peminat bertafakur mengenang dan menghormati musibah yang melanda mangsa banjir di beberapa negara, festival ini perlu dijadikan contoh serta panduan oleh penganjur pesta lain.
Antaranya sila pertimbangkan pemilihan barisan pemuzik yang ditampilkan tidak berulang kali terlalu kerap dan tentu sahaja kualiti sistem bunyi serta penyelenggaran festival yang lancar lalu memberi keuntungan kepada penganjur juga peminat.
Must-Watch Video