Laman Utama

OhAbeNik: Cef Wan Kata Macam Badut, Bon Zainal Pula Kata ..., Teruk Sangat Ker Baju Perbarisan Olimpik Kontinjen Malaysia?

gempak
Amri Hassan
24/07/2021
14:40 MYT
Sponsor Banner
OhAbeNik: Cef Wan Kata Macam Badut, Bon Zainal Pula Kata ..., Teruk Sangat Ker Baju Perbarisan Olimpik Kontinjen Malaysia?
"It look messy so cha cha marba.. kenapa mereka pakai macam badut? Kuning, merah, corak geometri, semak!" demikian antara komen yang ditulis cef terkenal, Datuk Cef Wan merujuk kepada pakaian kontinjen Malaysia ketika perbarisan Sukan Olimpik pada Jumaat.
Selain itu, Cef Wan menyifatkan busana berwarna merah gelap itu kelihatan murah dan jahitannya pula tidak kemas.
"Teringat pula zaman sekolah dulu bila dipakai baju untuk pementasan bangsawan gitu, bajet terhad.
"Negara kita ada macam-macam budaya, gunalah baju kebangsaan etnik. So distinctive dan menyerlah. Ini tak habis-habis dengan Hang tu Hang ni," tulisnya lagi.
BACA: [FOTO]: Meskipun Berskala Kecil, Pembukan Temasya Sukan Olimpik Tokyo Tetap Meriah!
Itu baru Cef Wan, belum lagi suara-suara daripada pereka tempatan termasuk pereka muda yang punyai pandangan masing-masing mengenai pemilihan busana kontinjen negara kali ini.
Patut guna songket
Bon Zainal pula berpendapat rekaan baju tersebut punyai konsep namun seharusnya menggunakan fabrik yang bersesuaian.
"Konsep oklah, tapi patut guna songket betul-betul untuk lelaki terutamanya tanjak dan batik sarung untuk wanita.
"Hitam dan emas, regal! Tak payahlah nak ikut warna bendera sangat. Identiti itu akan mewakili Malaysia," demikian tulis Bon Zainal di akaun media sosialnya.
Corak sama pelukis Belanda?
Bagi pereka jenama Behati, Kel Wen, undian di laman sosial Instagramnya membuktikan ramai yang kurang selesa menyaksikan busana itu diarakkan dalam temasya sukan terbesar dunia itu.
"Secara peribadinya, saya rasa corak itu yang 'membunuh' pakaian itu. Too loud, tiada titik fokus dalam rekaan sekali gus nampak kurang menyenangkan.
"Mungkin mereka cuba menjadikan ia moden dengan cetakan kontemporari tetapi corak ini sudah menjadi ikonik dengan pelukis Belanda, Piet Mondrian. Yves Saint Lauren juga pernah menggunakan signatur ini untuk dres Mondrian sebelum ini," ujarnya.
Cadang Kel Wen agar tanjak, sampin dan seluar menggunakan warna biru demi menyuntik elemen kontemporari.
Manakala, penggayaan pakaian wanita pula katanya seakan-akan lapuk.
Sementara itu, pengkaji dan penggiat seni warisan alam Melayu, Mohammad Faeez Harith secara peribadinya mencadangkan agar pakaian yang hendak dinobatkan sebagai pembawa identiti tradisi dirujuk kepada pihak yang arif.
"Tidak semata-mata diambil rekabentuk oleh pereka fesyen yang mungkin melihat keindahan dari sudut estetika sahaja tanpa memahami ciri sebenar dalam pakaian tradisi serta falsafah di sebalik pemakaian tersebut," kongsinya. BACA: Terbaik! Jurukamera Awani Rupanya Cipta Tanjak Kontinjen Malaysia Di Temasya Olimpik 2020
Busana perarakan kontinjen Malaysia untuk sukan Olimpik di Tokyo, Jepun direka oleh Fakulti Seni Reka & Seni Lukis, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam yang diilhamkan daripada pakaian pahlawan Hang Tuah.
Manakala, warnanya pula diilhamkan daripada warna Jalur Gemilang.
Beberapa gaya kontinjen luar turut mencuri perhatian netizen antaranya United Kingdom yang menggunakan khidmat Ben Sherman, Amerika Syarikat (Ralph Lauren), Itali (Giorgio Armani & Le Coq Sportif) dan Korea (The North Face).
Biarpun melontarkan pandangan secara peribadi, mereka juga turut melayangkan doa dan harapan buat kontinjen negara yang sudah mula bertempur di Tokyo, Jepun hari ini.
Sama-sama kita doakan mereka membawa pulang emas buat negara!
***
NOTA: #OhAbeNik merupakan pandangan peribadi penulis dalam berkongsi tips atau ulasan tentang gaya hidup, hobi, fesyen, isu semasa dan kemahiran harian.
Kredit: IG Chef Wan, Lee Zi Jia, Kel Wen, FB Bon Zainal, Robbreport
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live