50 tahun bertahan dalam dunia seni, selebriti veteran, Jaafar Onn mengakui keperibadian semulajadinya yang lemah lembut membuatkannya masih bertahan.

Kata Jaafar, dia tidak perlu mengubah dirinya menjadi individu berbeza demi memuaskan hati pihak lain.

"Ada orang cakap termasuk keluarga terdekat, ‘dah usia 70 tahun tak reti nak taubat atau berubah ke’.

"Nak saya buat macam mana, dah memang saya begini takkan saya nak hidup berpura-pura jadi keras demi memuaskan hati orang sekeliling.

"Sekurang-kurangnya, saya selembut-lembut saya, tak pernah pun menyusahkan orang minta sedekah tadah tangan. Alhamdulillah bukan nak cakap besar, pada usia 70 tahun, Allah masih beri saya rezeki kesihatan yang baik," ujarnya.

Bintang drama Cili Padi itu ditemui pada majlis pelancaran Sudut Produk Selebriti & Amirul Grocer cawangan Shah Alam, Seksyen 15 Shah Alam baru-baru ini.

Jaafar menganggap segala kritikan mengenai dirinya tidak pernah melukakan hati bahkan menguatkan semangatnya untuk terus bertahan.

"Orang sibuk kutuk saya jalan menampi padi usia pun dah makin lanjut, saya nak tanya, sempurnakah kalian? Nak cakap apa pun, cakaplah yang penting hanya saya dan Allah sahaja diri saya bagaimana.

"Banyak mulut jahat tapi saya percaya mulut jahat, hati tak semestinya jahat juga. Macam saya, orang fikir mulut saya jahat, tapi hati saya kadang-kadang tak sampai hati.

"Zaman sekarang ini, dengan kemajuan teknologi dan dunia media sosial, macam-macam orang boleh cakap itu ini. Nak cakap buruk tentang saya, tak jadi kudis pun.

"Selama 50 tahun dalam industri, rezeki saya tetap ada dan orang masih kenal," tambahnya yang baru melancarkan produk Kopi Kulit Peria.

Produk itu turut dipasarkan di Amirul Grocer seluruh negara.