Laman Utama

"Orang Tak Kena Senggugut Tak Faham" - Ramai Sokong Usul Pengenalan Cuti Haid & Subsidi Tuala Wanita

gempak
Shahrin Zulkifle
21/07/2022
23:00 MYT
Sponsor Banner
"Orang Tak Kena Senggugut Tak Faham" - Ramai Sokong Usul Pengenalan Cuti Haid & Subsidi Tuala Wanita
"Untuk orang sakit senggugut guling-guling memang sokong ini, orang tak kena takkan faham," demikian antara komen yang ditulis pengguna media sosial sebagai reaksi kepada salah satu usul perbahasan di Dewan Rakyat baru-baru ini.
Perbahasan itu melibatkan pengenalan cuti haid dan subsidi tuala wanita yang masih dalam kajian serta dijangka selesai pada Oktober ini.
Untuk rekod, beberapa negara telah menguatkuasakan cuti haid antaranya Jepun, Korea Selatan dan Indonesia.
Meninjau komen lanjutan beberapa pengguna lain di Twitter pula, rata-ratanya menyambut baik topik terbabit terutama subsidi tuala wanita yang dilihat mampu meringankan beban kos sara hidup yang dilihat semakin tinggi.
@nuuraimuni : “Subsidi tuala wanita ini bagus sebab isu period poverty di Malaysia bukan isu kecil.”
@qudie : “Subsidi tuala wanita adalah idea yang baik untuk mengawal “kemiskinan haid”, bagus untuk orang-orang yang tidak mampu membeli tuala wanita.
@afifah : “Subsidi tuala wanita memang wajar, lagi-lagi yang kurang berkemampuan, nak beli tuala wanita harga RM6 dan keatas tetapi di dalam cuma ada 8 keping sahaja, mana cukup untuk seminggu,” antara luahan suara rakyat.
Perihal cuti haid diulas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff di Dewan Rakyat.
Proses pengenalan cuti itu kata Zailah bukan sahaja tentang kesejahteraan wanita, tetapi juga melibatkan implikasi ekonomi negara.
Ahli Parlimen Rantau Panjang itu memberitahu Dewan Rakyat hari ini, buat masa ini, kajian melibatkan 57,000 responden tentang cuti haid dan subsidi tuala wanita sedang dijalankan dan dijangka selesai pada Oktober.
"Buat masa ini, ada cuti sakit, cuti rehat kepada pekerja, sama ada di sektor swasta atau awam," katanya ketika menjawab soalan Charles Santiago (DAP-Klang).
Charles bertanya mengenai rancangan kerajaan memperkenalkan cuti haid dan subsidi tuala wanita, sebagai sebahagian daripada perlindungan sosial untuk wanita dari keluarga B40.
Siti Zailah berkata, kemiskinan haid secara relatifnya merujuk kepada situasi individu yang tidak mendapat akses tuala wanita sebab kekangan kewangan.
“Kementerian berpandangan kajian lanjut perlu dilaksanaknan berhubung subsidi tuala wanita, bagi membolehkan kerajaan mendapat gambaran sebenar berhubung isu ini, khususnya b40.
“Selain itu dapatan kajian juga membolehkan satu pendekatan komprehensif bersasar, bagi menangi isu ini, dan kajian itu dijangka siap pada oktober,” tambahnya.
Siti Zailah mengakui, negara-negara maju sudah ke depan dalam melaksanakan cuti haid bagi kesejahteraan wanita.
Katanya lagi, jika kajian tersebut sudah selesai dan didapati mempunyai kepentingan yang signifikan, ia akan dibentangkan kepada kerajaan untuk tindakan selanjutnya.
Media sebelum ini melaporkan kenyataan Bank Dunia pada 2018, yang menganggarkan lebih kurang 500 juta wanita di seluruh dunia tidak mampu memperoleh keperluan asas sewaktu haid atau turut diistilahkan sebagai "kemiskinan haid".
Mengulas lanjut, Siti Zailah berkata, kementerian setakat ini sudah membelanjakan RM2.39 juta, iaitu 77 peratus daripada bajet yang disediakan, untuk menyediakan tuala wanita kepada pelajar sekolah B40, serta program bersifat pendidikan tentang kebersihan. Sumber: Awani, Twitter
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024