BERITA
Pandu Kereta Mewah Bukan Tiket Langgar Undang-Undang - JPJ
Dua pemandu kenderaan mewah memberi alasan menghadapi masalah kewangan selepas ditahan dalam Ops Harian Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor yang dijalankan di sekitar Lebuhraya Kajang–Cheras pada Khamis.
Dalam operasi bermula jam 2 petang hingga 11 malam itu, JPJ menahan dua buah kenderaan mewah jenis Ford Mustang dan BMW X5 dalam pemeriksaan berasingan di lokasi berkenaan.
Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan berkata, hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua kenderaan berkenaan melakukan kesalahan sama iaitu memandu tanpa Lesen Kenderaan Motor (LKM) yang sah serta tiada perlindungan insurans.
“Pemandu Ford Mustang merupakan lelaki warga tempatan berusia awal 30-an yang tidak dapat memperbaharui LKM kerana mempunyai saman tertunggak dan telah disenarai hitam.
“Sebuah lagi kenderaan, jenis BMW X5, dipandu individu berusia lingkungan 40-an turut dikesan melakukan kesalahan sama apabila cukai jalan kenderaan itu tamat tempoh lebih setahun dan tiada perlindungan insurans,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Menurut Azrin, kedua-dua individu terbabit mendakwa mengalami masalah kewangan yang menjadi alasan mereka gagal memperbaharui dokumen walaupun memandu kenderaan mewah bernilai ratusan ribu ringgit.
“Kesemua kenderaan telah disita dan dibawa ke JPJ Shah Alam untuk tindakan lanjut.
“JPJ tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak termasuk pemilik kenderaan mewah yang ingkar terhadap undang-undang jalan raya,” tegasnya
Beliau menegaskan, memandu kenderaan mewah bukan tiket untuk kebal undang-undang.
“Semua pengguna jalan raya tertakluk kepada peraturan sama, termasuk keperluan memiliki LKM dan insurans yang sah.
“JPJ Selangor sentiasa memantau secara berterusan dan memberi perhatian terhadap semua aduan yang diterima daripada orang awam,” katanya.
Azrin turut menasihatkan semua pengguna jalan raya agar memastikan kenderaan masing-masing sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan.
“Orang ramai boleh menyalurkan aduan berkaitan kesalahan lalu lintas menerusi emel [email protected] atau menggunakan platform aplikasi e-Aduan JPJ dengan menyertakan maklumat lengkap serta butiran pengadu.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati cuai dan mengabaikan tanggungjawab sebagai pemilik serta pemandu kenderaan,” katanya.
Sumber: Sinar Harian
Must-Watch Video