Seorang wanita terpaksa melahirkan anak yang dikandungnya secara bersendirian tanpa bantuan doktor dan jururawat selepas disahkan positif COVID-19.

Menerusi laman sosial Twitter, perkongsian yang dibuat oleh wanita bernama Noor Aziah itu tular dan mendapat simpati orang ramai.

Jelas Aziah, dia disahkan dijangkiti COVID-19 pada jam 4.40 petang selepas menjadi kontak rapat suaminya yang positif.

Doktor kemudian mempersiapkan diri untuk menyambut kelahiran bayi secara pembedahan. Pada pukul 5.40 petang, doktor dan jururawat kemudiannya keluar daripada bilik bersalin yang dikhaskan untuk pesakit COVID-19 meninggalkan dia sendirian.

“6.03pm perut dah memulas sangat rasa nak terberak. Cuba panggil nurse doktor tolong tapi hampa, diorang tak layan.

“Masa ni tawakal 100% dan berserah pada Allah. Lepas tu saya mengucap dua kalimah syahadah, baca ayat kursi dan doa dan angkat kaki. Baru angkat sikit bayi dah keluar saya teran tak sampai dua saat. Jam 6.03pm alhamdulillah selamat melahirkan anak tanpa bantuan doktor dan nurse.

“Hampir 10 minit menjerit guna sisa tenaga yang ada, panggil nurse dan doktor. Tapi hampa saya dengar jelas suara mereka sedang ketawa di luar.

"Saya jerit paling kuat sampai rasa nak terkeluar anak tekak, akhirnya datang seorang nurse jengah saya. Dia jerit pada kawan-kawan lain ‘eh dia dah bersalin la’. Allah masa tu rasa sayu sangat-sangat hati saya,” tulis wanita terbabit.

Sementara itu, Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) akan menyiasat secara terperinci kejadian seorang wanita yang bersalin seorang diri di dewan bersalin Hospital Sultan Ismail (HSI), bulan lalu.

Pengarahnya, Datuk Dr Aman Rabu, berkata merujuk kepada gambar yang tular di Facebook (FB) bertarikh pada 31 Julai lalu, pesakit wanita yang berusia 35 tahun berkenaan didapati hadir ke bilik saringan HSI pada 23 Julai jam 5.33 pagi kerana mempunyai tanda awal hendak bersalin.

“Pesakit diperiksa pegawai perubatan dan didapati di peringkat awal kelahiran, sebelum dimasukkan ke bilik isolasi di HSI jam 10.18 pagi sementara menunggu keputusan ujian saringan COVID-19 yang dilakukan.

“Pesakit diletakkan di dewan bersalin (bilik nombor dua) dengan pintu bilik sentiasa ditutup kerana pesakit adalah kes positif COVID-19 dan bilik itu juga berada agak jauh dari kaunter jururawat.

“Hasil ujian saringan mendapati pesakit itu positif COVID-19 dan keputusan untuk melahirkan anak melalui pembedahan dibuat pakar yang bertugas. Pesakit kemudiannya disiapkan untuk menjalani pembedahan,” katanya, lapor Berita Harian.

Dr Aman berkata, oleh kerana pesakit terbabit positif COVID-19 dia perlu ditempatkan di ruang isolasi yang tertutup.

Katanya, proses bersalin pesakit berlaku di luar jangkaan, iaitu lebih awal daripada tempoh jangkaan bersalin yang dianggarkan enam jam lagi.

“Pesakit bersalin secara bersendirian dan bayinya didapati berada di atas katil pesakit. Proses ‘donning’ mengambil masa sebelum bantuan kakitangan bertugas dapat diberikan kepada pesakit,” katanya.

Mengulas dakwaan pesakit mendengar bunyi ketawa kakitangan hospital di luar bilik isolasi itu, Dr Aman berkata, ia berkemungkinan daripada bunyi bising di bilik bersalin berhampiran yang sedang melakukan prosedur kelahiran bayi secara vakum.

“Bagaimanapun, kita akan menjalankan siasatan secara terperinci mengenai kejadian ini dan mengambil tindakan penambahbaikan yang diperlukan,” jelasnya lagi.