Festival Filem Malaysia ke-31 (FFM31) yang dijadualkan berlangsung pada April ini ditangguhkan ke tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Keputusan itu diambil selaras dengan saranan kerajaan untuk mengawal penularan wabak Covid-19.

"Adalah dimaklumkan bahawa Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) amat prihatin dengan penularan jangkitan wabak COVID-19 yang melanda negara dan telah memutuskan untuk menangguhkan penganjuran FFM-31 yang dijadualkan berlangsung dari 9-18 April 2020 ini ke satu tarikh baharu yang akan dimaklumkan kemudian.

"Keputusan ini dibuat selaras dengan keputusan pihak kerajaan agar semua perhimpunan termasuk mesyuarat antarabangsa, acara sukan, sosial dan keagamaan ditangguhkan atau dibatalkan mengikut kesesuaian sehingga 30 April 2020 bagi mengawal penularan COVID-19 di negara ini.

"FINAS mengambil cakna berhubung penularan COVID-19 ini dan segala program serta persiapan berkaitan FFM-31 yang melibatkan orang ramai akan ditangguhkan buat sementara waktu.

"Adalah menjadi tanggungjawab utama FINAS sebagai penganjur untuk mematuhi keputusan kerajaan demi melindungi kesihatan dan kesejahteraan semua pihak yang bakal terlibat dalam FFM31 ini," maklum Finas menerusi kenyataan media pada Selasa.

FFM31 dijangka membuat kelainan apabila akan bersiaran secara langsung di Encore Melaka.

Sebanyak 67 filem berentap untuk 32 kategoti yang dipertandingkan dengan mengangkat tema Inspirasi Sinemaku: Tanpa Sempadan.