Pelakon, Zarynn Min berkongsi kisah ketika menjalani penggambaran drama terbaharunya berjudul Sihir.

Menurut Zarynn, walaupun kejadian itu tidak berlaku di depan matanya namun impak daripada penceritaan itu sedikit sebanyak menganggu dirinya dari segi psikologi.

“Saya tidak alaminya sendiri kerana kebanyakan babak untuk penggambaran saya adalah pada waktu siang.

“Cuma saya ada dengar dalam beberapa hari sahaja kami membuat penggambaran, salah seorang kru kami memang terjumpa betul, pontianak secara live di lokasi kami.

“Bila terjadinya penceritaan seperti itu, sedikit sebanyak memberikan impak kepada saya juga. Walaupun waktu siang, saya tidak berani untuk berada seorang diri di lokasi, jadi saya akan ikut kru-kru keluar.

“Sama juga jika babak saya habis awal dalam jam enam atau tujuh petang pun saya tetap akan duduk di set sampailah mereka semua habis shooting iaitu lebih kurang jam tiga atau empat pagi.

“Saya takut untuk balik ke tempat penginapan yang agak jauh daripada lokasi penggambaran. Tempat penginapan itu juga agak jauh dari penempatan yang lain.

“Memang betul, pengalaman salah seorang kru nampak pontianak itu benar-benar memberi kesan pada saya.

“Dari sudut dalaman, psikologi sebenarnya terganggu dan pada ketika itu saya memang tak berani nak ke mana-mana,” kongsinya kepada Gempak.

Berbicara mengenai Sihir, Zarynn mempunyi pandangannya tersendiri mengenai naskhah menarik ini.

“Kelainan yang ada pada drama ini, Sihir bukanlah cerita yang ada banyak jumpscare, yang mempunyai babak cliché dengan menampilkan pelbagai hantu.

“Sihir ini dia lebih kepada perjalanan dua individu iaitu Nuh dan Hud hadir merungkai misteri yang mendatang sambil mereka sendiri berdepan dengan masalah entiti, jadi itu kelainan sihir yang saya nampak,” katanya.

Jangan lupa saksikan Sihir setiap Isnin hingga Khamis, jam 11 malam secara eksklusif di Astro Ria (saluran 104).

Untuk pilihan yang lebih feksibel, Sihir juga boleh distrim di aplikasi Astro Go dan On Demand.