Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengesyorkan pemakaian pelitup muka dilaksanakan semula di semua sekolah berikutan kebimbangan peningkatan kembali kes COVID-19, selain penularan varian baharu dikenali sebagai XBB.1.16 atau Arcturus.

Susulan itu, Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, berkata beliau akan mengadakan pertemuan segera dengan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, bagi membincangkan perkara itu untuk mengekang penularan semula COVID-19 di sekolah.

Beliau berkata, garis panduan berhubung prosedur operasi standard (SOP) membabitkan murid dan pelajar di sekolah akan dikeluarkan sebelum mereka memulakan persekolahan pada 2 Mei ini selepas cuti Aidilfitri.

"Saya akan bertemu Fadhlina minggu ini juga untuk membincangkan garis panduan mengapa kita perlu mengawal penularan COVID-19 di sekolah, terutama selepas adanya varian baharu Arcturus.

"SOP berhubung kawalan COVID-19 itu akan dikeluarkan sebelum pelajar kembali ke sekolah pada 2 Mei ini sebagai langkah berjaga-jaga.

"Ini penting kerana kita bimbang jika ada murid terkena jangkitan selepas bergerak ke sana sini sepanjang cuti raya yang mungkin menyebabkan COVID-19 kembali menular di sekolah," katanya kepada media.

Kelmarin, Dr Zaliha mendedahkan enam kes varian baharu COVID-19 XBB1.16 atau Arcturus dikesan di Lembah Klang, menjadikan jumlah kes dijangkiti meningkat kepada 12 setakat ini.

Daripada jumlah itu, empat kes baharu bagi varian itu dikesan di Selangor, manakala dua lagi di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, selain enam kes awal di Sarawak.

Bagaimanapun, katanya, individu yang dijangkiti Arcturus yang juga subvarian kepada Omicron itu didapati hanya mengalami gejala ringan dan dilaporkan stabil.

Dr Zaliha berkata, walaupun pihaknya mencadangkan langkah pengawalan COVID-19 dibuat di sekolah selepas cuti perayaan ini, tetapi keputusan akhir bergantung kepada Kementerian Pendidikan (KPM) untuk melaksanakannya atau tidak.

"Ibu bapa tidak perlu panik dengan penularan varian baharu ini, tetapi kita tetap galakkan semua pihak, termasuk pelajar terus memakai pelitup muka bagi mengekang penularannya.

"Jika mengalami gejala jangkitan, mereka bukan sahaja perlu memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan, tetapi perlu melakukan pemeriksaan kesihatan dengan doktor," katanya.

Syor laksana saringan

Baru-baru ini, KKM menyarankan sektor pendidikan melakukan saringan susulan 11 daripada 18 kluster COVID-19 yang dilaporkan pada minggu epidemiologi ketujuh 2023 adalah daripada kluster pendidikan.

Bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dilaporkan berkata enam kluster itu membabitkan institusi pendidikan KPM iaitu tiga kolej dan masing-masing satu sekolah agama menengah, sekolah berasrama penuh dan sekolah menengah, sementara lima lagi maktab dan satu taska.

Susulan itu, Fadhlina dipetik berkata, KPM masih memantau rapat perkembangan terkini dan akan mengambil tindakan susulan, termasuk mewajibkan saringan selepas mendapat nasihat KKM.

Ahad lalu, ibu negara Vietnam, Hanoi melaksanakan semula peraturan pemakaian pelitup muka di tempat awam yang sesak kepada orang awam susulan peningkatan kes jangkitan COVID-19.

Beberapa negeri di India turut mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat awam bagi mengekang penularan COVID-19 selepas sebahagian kawasan di negara itu melaporkan wabak berkenaan kembali melonjak sejak kebelakangan ini.

Sumber: Berita Harian