Baru-baru ini tercetus perdebatan hangat dalam kalangan netizen berhubung kenyataan MP Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya dalam perbahasan Rang Undang-undang
Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 di Dewan Rakyat, Parlimen, 4 April lalu.

Menurut laporan sebuah portal tempatan, Shabudin didakwa menyokong perkahwinan bawah umur dan pernikahan antara perogol dan mangsa.

Shabudin yang juga bekas hakim Mahkamah Syariah berkata walaupun rogol adalah jenayah, undang-undang tidak menghalang mangsa rogol daripada berkahwin dengan individu
merogolnya.

Kenyataan Shabudin itu menerima banyak kritikan termasuk dari Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.

Malah di media sosial juga Shabudin mendapat kecaman teruk daripada netizen berhubung kenyataannya hingga mendapat perhatian media antarabangsa.




Sehari selepas kontroversi itu, Shabudin menyelar tindakan orang ramai menghentam kenyataannya dan menegaskan konteks ucapannya telah disalahtafsir oleh media.

Jelasnya, kenyataan sebelum ini merujuk kepada peruntukan undang-undang sedia ada yang tidak menghalang kepada perkahwinan dalam usia yang disebutkan.

"Suka saya tegaskan, bahawa tidak ada apa-apa peruntukan undang-undang, malah hukum syarak, yang menghalang mereka daripada berkahwin.

"Perkahwinan berkenaan bukanlah ibarat 'pintu belakang' untuk menghalalkan satu kesalahan rogol.

"Namun, dalam realiti masyarakat, terdapat banyak kes rogol yang diklasifikasikan oleh undang-undang sebagai statutory rape, iaitu atas dasar persetujuan bersama,"
katanya.

Kenyataan itu juga mengundang reaksi pengguna media sosial yang rata-ratanya bersetuju dengan kenyataan sebenar Shabudin.




Bagi mengetahui kandungan lebih lanjut berhubung perbahasan Dewan Rakyat di Parlimen baru-baru ini, ikuti pautan video yang telah kami sediakan di bawah.

Perbahasan itu melibatkan MP Tasek Gelugor sendiri, MP Kulai, MP Kota Raja, MP Subang dan MP Pasir Puteh.

Penonton boleh saksikan perbahasan yang berlangsung dari detik 1:40:00.

(https://www.youtube.com/watch?v=eHNT_-KDJ6k)

Selain itu, anda juga boleh merujuk semula butiran perbahasan dalam Hansard Parlimen bermula dari muka surat 81.

(http://www.parlimen.gov.my/files/hindex/pdf/DR-04042017%20(2).pdf)

Kongsikan pandangan anda kepada kami berhubung isu terbabit.



Teks oleh: Amri Hassan
Kredit foto: Freemalaysiatoday