Sekumpulan persatuan penggiat seni tanah air mendesak Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Datuk Hans Isaac dan ahli lembaga pengarahnya untuk melepaskan jawatan mereka.

Desakan itu dibuat Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima), Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM), Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Pertubuhan Industri Kreatif Digital Malaysia (PIKDM), Komuniti Filem Titiwangsa (Komfit) dan Persatuan Sinematografi Malaysia (MYSC).

Presiden Profima, Kapten Khir Mohd. Noor berkata, desakan itu dibuat selepas mendakwa kesemua mereka gagal melaksanakan tanggungjawab dalam membangunkan industri seni tanah air.

"Kami merasakan Menteri mengambil sikap acuh tak acuh terhadap segala masalah industri dan tidak mesra dengan penggiat seni sehingga membuatkan kami berasa jauh dan terpinggir.

"Bahkan, belum apa-apa lagi, kini muncul pula isu Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Ahmad Idham direhatkan. Kami sebagai penggiat seni tak tahu apa status sebenarnya. Situasi itu secara tidak langsung menyukarkan kami kerana banyak urusan bersama Finas.

"Justeru, kami sepakat agar mereka melepaskan jawatan ," katanya yang mewakili semua persatuan.

Beliau berkata demikian ketika sidang media yang diadakan di Kuala Lumpur hari ini.

Turut hadir mantan Ketua Pengarah Finas, Datuk Kamil Othman dan Presiden Pengguna Islam Malaysia, Datuk Nazim Johan.

Khir mendakwa penggiat seni juga sukar untuk mendapatkan kerjasama Finas dalam menyelesaikan isu-isu berbangkit mengenai industri.

"Kami tengok macam banyak benda yang tak kena dengan Finas. Banyak perkara yang menjadi tanya tanya termasuklah status pemberian geran filem yang sudah diberikan kepada penerbit-penerbit tetapi di mana hasilnya.

"Kalau tak boleh nak selesaikan masalah industri, tutup sahajalah Finas tu dan gantikan dengan suruhanjaya berkaitan," ujarnya.

Sebelum ini, beberapa kontroversi mengaitkan Finas menjadi pertikaian penggiat seni. Antaranya, termasuklah isu cadangan mengawal selia kandungan penstriman berbayar, Netflix dan larangan pelakon muda disolek menjadi tua.

Kemuncak kemelut Finas tercetus apabila Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Idham kini direhatkan secara tiba-tiba selepas dilantik pada 14 Mac lalu.