Sebahagian rakyat Malaysia telah menerima pengesahan janji temu untuk suntikan vaksin AstraZeneca (AZ) secara sukarela menerusi aplikasi MySejahtera mulai hari ini.

Menerusi laman sosial Twitter, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar memaklumkan perkara tersebut kepada umum.

“Ada di antara anda yang akan menerima pengesahan janji temu AZ dalam aplikasi MySejahtera bila bangun dari tidur. Ia dikeluarkan secara progresif hari ini. Sebarang isu sila hubungi @JKJAVMY,” tulisnya menerusi satu ciapan sebentar tadi.

Sementara itu di ruangan balas, ramai wargamaya berkongsi tangkap layar pengesahan janji temu mereka sambil menyatakan penghargaan kepada pihak Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAVMY).

Namun, ada juga wargamaya yang turut gelisah kerana masih belum menerima pengesahan janji temu mereka sedangkan tarikh vaksin yang dipilih hampir tiba.

Saya dah dapat. Syukur sama tarikh, masa dan tempat dengan isteri saya. Tak sabar untuk mendapat vaksin,” komen seorang pengguna Twitter.

Saya dah dapat, 10 minit je berjalan daripada asrama saya, terima kasih,” ujar seorang pengguna Twitter.

Saya dah dapat awal pagi tadi,Sir! Pantas, very efficient @JKJAVMY! Good job!” puji seorang wargamaya pengguna Twitter.

Belum dapat sebarang janji temu lagi, tarikh saya pilih Rabu ni!,” gusar seorang pengguna Twitter.

Saya baru dapat. Janji temu 6 Mei. Buat pendaftaran dua minit sebelum 12pm semalam. Terima kasih @Khairykj & @JKJAVMY!” luah seorang wargamaya.

Saya tunggu sejak pagi tadi, sangat teruja dan harap dapat pengesahan janji temu tak lama lagi. Macam tunggu SPM Result la pulak,” usik seorang wargamaya lagi.

Pada Ahad, semua 268,800 dos AZ COVID-19 habis ditempah dalam masa empat jam selepas pendaftaran untuk vaksin tersebut dibuka pada pukul 12 tengah hari.

Buat masa ini pendaftaran sukarela untuk kumpulan vaksin AZ itu hanya tersedia untuk mereka yang berada di Kuala Lumpur dan Selangor.

Dos pertama AZ akan diberikan seawal 5 Mei ini.

Empat pusat ditetapkan untuk orang ramai menerima suntikan vaksin tersebut iaitu Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur dan Pusat Konvensyen Ideal Shah Alam.