Laman Utama

"Rambut Panjang & Tak Pakai Kopiah.." - Tukang Mandi Jenazah Dicemuh Sebab Tak Nampak Warak

gempak
Zulaikha Yusof
06/08/2020
04:26 MYT
Sponsor Banner
"Rambut Panjang & Tak Pakai Kopiah.." - Tukang Mandi Jenazah Dicemuh Sebab Tak Nampak Warak
Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia meluahkan rasa kesal selepas terdapat segelintir pihak yang tidak berpuas hati dengan salah seorang anggotanya.
Menurut pentadbir akaun, penampilan seorang anggotanya dipandang sinis kerana dia berambut panjang dan tidak memakai songkok.
"Ada satu pihak yang tidak berpuas hati dengan ahli skuad kami ini. Kesalahannya di mata mereka adalah kerana dia berambut panjang dan tidak memakai songkok atau kopiah seperti mereka.
"Katanya penampilannya langsung tidak menunjukkan imej sebagai seorang juru mandi jenazah.
"Mungkin bagi mereka penampilan seorang juru mandi jenazah haruslah berserban dan berjubah sepanjang masa, atau bersongkok dan berbaju batik seperti seorang tokoh korporat lagaknya," tulisnya.
Jelasnya lagi, sepatutnya tidak hanya memandang luaran semata kerana sekarang ini ramai pendusta.
"Usah terpedaya tuan-tuan. Hari ini ramai yang berwajah suci tapi dalamannya berdebu.
"Kadang luarannya nampak warak, rupanya dialah pembohong, pembelit dan penipu.
"Ada juga yang berkopiah atau bersongkok sentiasa di kepala, rupanya kaki perempuan dan pengikis harta si isteri.
"Kalau begini gayanya, lebih baik mereka yang nampak jahat wajahnya, rambut panjang berjela, muka bengis sentiasa. Tapi dalamannya punya hati yang tulus dan ilmu yang penuh di dada," tulisnya lagi.
Tambah pentadbir akaun tersebut, lelaki yang dicemuh ramai itu bakal bergelar Al-Hafiz dan merupakan pelajar di Yaman.
"Si rambut panjang ini seorang pemuda bakal bergelar 'Al-Hafiz'. Dia pernah menuntut di Yaman.
"Sekarang berkhidmat di sebuah madrasah di Kuala Lumpur. Namanya Nsrul Chan.
"Saya sengaja ketengahkan ahli skuad kami yang berambut panjang ini. Sebab hari ini dia dicemuh kerana penampilannya tidak sesuai sebagai seorang tukang mandi jenazah menurut mereka yang berwajah suci.
"Sebenarnya siapa pun kita, yang berhak menilai hanyalah Allah. Begitu ramai orang yang bermasalah dan dipandang seolah ahli neraka tetapi sangat berusaha untuk menjadi ahli syurga.
"Begitu ramai juga ahli syurga kononnya tapi hakikatnya talam dua muka. Kesudahannya kelak hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui," tulisnya di laman Facebook.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live