Kenyataan Ahli Parlimen Kapar, Dr Halimah Ali yang mengaitkan Menu Rahmah dengan risiko kesihatan seperti autisme, boleh memberi pemahaman yang salah kepada masyarakat selain menghina komuniti Orang Kurang Upaya (OKU) di Malaysia.



Ahli Dewan Negara, Datuk Ras Adiba Radzi yang kesal dengan kenyataan yang dikeluarkan ketika sesi perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat itu, berharap agar wakil rakyat Perikatan Nasional berkenaan dibawa ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen untuk tindakan selanjutnya.

"Kenyataan YB (Yang Berhormat) Dr Halimah Ali tanpa fakta dan data sains telah memberikan pemahaman yang salah kepada masyarakat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ras Adiba berkata autisme atau Autism Spectrum Disorder (ASD) merupakan satu bentuk kekurangan keupayaan dari aspek neurologi yang mengakibatkan masalah dari segi perkembangan bahasa, tingkah laku serta pertuturan yang melibatkan kanak-kanak dan bukannya penyakit fizikal.

Katanya, autisme boleh dikenal pasti pada tahap awal pembesaran kanak-kanak bermula usia satu hingga tiga tahun dan mula ketara apabila umurnya meningkat 6 tahun.

Antara faktor penyebab ialah ciri-ciri genetik, sejarah keluarga, usia dan keadaan fizikal ibu semasa mengandung, jarak antara kandungan serta keadaan ketika hamil dan kelahiran bayi.

Katanya, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan satu daripada 100 kanak-kanak di seluruh dunia menghidap autisme, manakala berdasarkan statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat hingga 30 Jun 2022, seramai 36,601 individu di negara ini disahkan mempunyai autisme termasuk 24,748 di bawah umur 12 tahun.

"Justeru, saya menyeru Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pembangunan Wanita, Kebajikan dan Masyarakat supaya dapat menyegerakan penubuhan Majlis Autisme Kebangsaan, manakala Jabatan Pendaftaran Klinikal Austime perlu memperkenalkan pelaporan wajib bagi kes-kes austime di Malaysia.

"Selain itu, Klinik Subfertili di bawah Lembaga Pendudukan dan Pembangunan Keluarga Negara harus dilibatkan dalam mengatasi masalah austime dalam kandungan (bayi) dan perbanyakkan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Autisma Berkefungsian Tinggi (PPDK HFA) di seluruh negara bagi mengembangkan potensi kanak-kanak autisme," katanya.

Beliau turut menyeru agar semua pihak dapat menjaga dan menghormati sensitiviti golongan OKU di negara ini. – BERNAMA