Penyanyi Faizal Tahir menganggap tempoh empat bulan berehat daripada media sosial sangat menenangkan.

Kata Faizal, ketika itu rutin hariannya berubah apabila media sosial bukan lagi perkara utama yang perlu dilakukan.

"Dalam empat bulan juga saya berehat daripada media sosial tapi tuntutan kerja tetap berjalan macam biasa. Masa tu saya baru siapkan album Rojak dan tersangatlah letih kerana banyak yang perlu diselesaikan.

"Kebetulan saya tengah berehat sekejap, dapat berita yang tidak seronok apabila pemain gitar terkemuka, Fauzi Samin (Aji) dan pemain bass terkenal tanah air, Kelly meninggal dunia. Mereka memang antara tulang belakang dalam kerjaya muzik saya.

"Masa tu memang saya rasa 'down' sangat sehinggakan timbul perasaan tidak ingin meneruskan lagi. Tapi disebabkan saya mempunyai pasukan yang bagus, mereka minta saya untuk berehat daripada media sosial buat sementara waktu.

"Masa saya berehat tu, perasaannya sangat menyegarkan. Dia rasa macam bila dah lama tak mandi, tetiba mandi. Sangat menyeronokkan.

"Tiap hari tak perlu periksa media sosial, tak tahu apa yang terjadi di luar sana.

"Tapi kalau nak berehat pun ada had juga sebab ada benda yang kita nak tahu dan beritahu kepada orang dengan menggunakan medium media sosial. Itu yang saya muncul semula ketika berada di Syria," katanya kepada Gempak.

Faizal ditemui ketika majlis sidang media JOOX di Nicsmann 1940s, Damansara semalam.

Dalam pada itu, pelantun lagu Ragaman turut menasihati kepada semua pihak untuk mencuba bagi merasai perasaan yang berbeza.

"Saya yakin, setiap orang akan terus melihat telefon bimbit setiap kali bangun tidur dan begitu juga saya.

"Sebenarnya itu adalah pengalaman baru yang baik. Kalau boleh, saya nasihatkan kepada semua orang untuk berehat sebentar daripada media sosial. Sangat membersihkan dan menyucikan," katanya lagi.

Faizal sebagai Super Producer akan bekerjasama dengan artis-artis termasuk Dayang Nurfaizah, FML dan Sophia Liana dalam menghasilkan lagu asal yang hanya boleh didapati secara eksklusif di JOOX.

Projek muzik crossover ini memainkan peranan untuk menyokong industri muzik tempatan sejajar dengan pelan hala tuju muzik JOOX pada tahun 2020.

Imbas semula Faizal Thair dalam program Big Stage di telefon pintar anda melalui aplikasi Astro GO. Muat turun aplikasi GO di Google Play dan Apple Store sekarang.