Pemain gitar utama Kumpulan Kristal, Rody mengesahkan dia dan isteri serta keluarga adiknya kini pulih Covid-19.

Rody yang disahkan positif pada awal Jun lalu menerusi hantaran di di Instagram (IG) memaklumkan dia dan keluarga berada dalam keadaan sihat.

Bagaimanapun kata Rody ibu dan bapanya masih ditahan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid 19 (PKRC) dan hospital.

Tambah Rody anaknya, Barie Habibullah juga masih mempunyai masalah pernafasan (semput) tetapi keadaan tidak merisaukan dan telah dibekalkan ubat.

“Alhamdulillah, kami di antara yang terpilih diuji Allah. Sekeluarga dijangkiti Covid1-9, lepas sorang-sorang positif.

“Kami saling memberi semangat sebab simptom bergejala, sakit hanya Allah yang tau. Sekarang kami semua dah kembali sihat. cuma anak yang kecil masih ada semput.

“Malam je dengar ‘accordian’, nasib baik dibekalkan ubat. Doakan mak dan ayah masih di PKRC dan hospital. Mereka pun makin sembuh,” katanya.

Dalam pada itu Rody turut mengucapkan terima kasih kepada ahli keluarga lain dan kawan-kawan yang banyak membantu sepanjang tempoh kuarantin.

“Terima kasih semua kawan-kawan, makcik pakcik yang memberi sumbangan, yang berani datang hantar barangan walaupun luar pagar, bawakan anak ke hospital dan yang bagi semangat.

“Terima kasih korang semua! Baru kita tau siapa kawan yang ikhlas…Jaga diri dan staysafe ya semua!,” tulisnya disertakan dengan tanda pagar #covidfighters #covidisreal.

A post shared by official rody kristal (@rodykristal)


Pemain gitar kumpulan Kristal itu disahkan positif Covid-19 selepas menjadi kontak rapat adik iparnya pada minggu pertama Jun lalu.

Dua hari selepas itu, isterinya, Niena Azman yang juga penjaga gol skuad futsal wanita kebangsaan disahkan positif.

Pasangan itu berkahwin pada 27 April 2018 dan dikurniakan dua anak lelaki, Adithya Jabbar, dua tahun dan Barie Habibullah yang kini berusia 11 bulan.