Rumah Bonda yang terletak di Setapak boleh beroperasi semula selepas Mahkamah Majistret di sini hari ini membenarkan permohonan yang difailkan oleh pengasas rumah perlindungan itu, Siti Bainun Ahd Razali.

Bagaimanapun, premis tersebut tidak boleh digunakan sebagai pusat jagaan.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh peguam, Asiah Jalil yang mewakili Siti Bainun dalamn prosiding di hadapan Majistret Nur Syafiqah Noorinda.

“Perintah menanggalkan Lak (notis penutupan) diberikan oleh Mahkamah Majistret mengikut Seksyen 16A Akta Pusat Jagaan 1993, tanpa sebarang bantahan daripada pihak Jabatan Kebajikan (JKM),” katanya.

Pada prosiding hari ini, Pengarah JKM yang dinamakan sebagai responden diwakili Peguam Persekutuan, Fatin Shafira Ab. Patah.

Pada 7 Jun lalu, Siti Bainun memfailkan saman pemula memohon agar Rumah Bonda di Setapak dibuka semula dengan menamakan Pengarah JKM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKMWPKL) sebagai defendan tunggal.

Siti Bainun kini sedang dibicarakan atas tuduhan menganiaya dan mengabaikan seorang remaja perempuan Sindrom Down di Kondo Irama Wangsa, Wangsa Maju di sini yang juga merupakan rumah kediaman wanita itu.

Pada 9 Julai 2021, Siti Bainun menyatakan dia telah menerima Notis Lak (Penutupan) daripada JKMWPKL yang memaklumkan bahawa Rumah Bonda di Taman Setapak akan ditutup mengikut Seksyen 16(1) Akta Pusat Jagaan 1993.

Siti Bainun mendakwa tindakan Lak yang dibuat atas alasan Rumah Bonda tidak berdaftar di bawah Akta Pusat Jagaan adalah tidak berasas, tidak adil dan tidak mengikut proses pentadbiran kerana pada sepanjang JKMWPKL mengetahui Rumah Bonda dalam proses pendaftaran.

Pada 20 April lalu, Rumah Bonda telah menerima notis tawaran kompaun berjumlah RM5,000 daripada JKM WPKL mengikut Peraturan-Peraturan Pusat Jagaan 1994 (Pengkompaunan Kesalahan) di bawah Seksyen 21A dan Seksyen 24 Akta Pusat Jagaan 1993. Bayaran kompaun tersebut telah dilunaskan pada 25 April lalu.

Bagaimanapun, Pegawai Penguatkuasa JKM WPKL telah memaklumkan kepada Siti Bainun walaupun kompaun telah dibayar, Rumah Bonda hanya boleh dibuka semula atas perintah mahkamah sahaja.

Disebabkan perintah penutupan itu masih lagi berkuatkuasa, Siti Bainun mendakwa pihaknya tidak boleh menjalankan kerja-kerja amal yang lain seperti penyediaan makanan bagi gelandangan dan pusat bank makanan.


Sumber: Kosmo Online
Kredit foto: Utusan Malaysia