Hiburan
Saiful Apek Dedah Detik Cemas Maya Karin Hampir Lemas, Mata Masuk Air Laut & Klip Rambut Pula Tersangkut Pada Jaring - “Saya Yakin Insiden Itu…”
Pelakon dan pelawak Saiful Apek mendedahkan aktres Maya Karin hampir lemas ketika melakukan babak dalam air sewaktu penggambaran filem Duyung pada 16 tahun lalu.
Air masuk mata
Apek atau nama sebenarnya Muhammad Saiful Azam Mohamed Yusoff, 55, berkata, insiden cemas itu berlaku disebabkan mata Maya termasuk air laut dan klip rambutnya tersangkut pada jaring.
ARTIKEL BERKAITAN: Anna Jobling Bakal Jadi ‘Duyung’, Letak Kepercayaan Pada Produksi Soal Pakaian - “Saya Rasa Mereka Pun Tak Nak Orang Kecam…”
ARTIKEL BERKAITAN: Ini Reaksi Mimi Lana, Maya Karin & Datuk Aaron Aziz Bila Baca Komen Warganet Mengenai The Experts!
ARTIKEL BERKAITAN: Maya Karin Raya Cara Sederhana - “Rumah Pun Tengah Renovate, Banyak Debu”
Advertisement
Jelas Apek, dia juga yang melihat Maya sedang bergelut ketika itu dengan pantas datang menyelamatkannya dan membawa naik ke atas permukaan air.
"Saya tidak pernah dedahkan perkara ini di mana Maya hampir lemas dalam Duyung pertama. Insiden berlaku waktu Maghrib dan visual agak terhad disebabkan sudah gelap. Namun, perlu juga lakukan 'shoot' Maya dalam air kerana esoknya dia sudah mahu pulang.
"Shoot tersebut sepatutnya Maya timbul dari permukaan air, tetapi dia tidak timbul-timbul. Rupanya mata dia masuk air, air laut agak masin menyebabkan mata dia jadi pedih dan kemudian tersasar.
"Ketika itu juga, dia memakai rambut palsu yang banyak pin dan klip. Klip rambutnya tersangkut pada jaring. Kebetulan saya sedang berenang dan menyelam dalam air kerana waktu itu saya tiada babak. Pasukan penyelamat pula berada agak jauh dari Maya.
"Saya lihat keadaan Maya dalam air sedang cemas dan mulut macam dah penuh telan air, hampir lemas. Saya terus menuju ke arah dia dan selamatkan dia. Tolak badan dia ke atas permukaan air,” katanya kepada Gempak.
Apek berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sidang media sekuel filem Duyung iaitu Duyung: Lagenda Aurora yang diadakan di Wetland Studio, Putrajaya, pada Selasa.
Mimpi buruk
Berkongsi lanjut, Apek mengakui insiden berkenaan turut memberikan mimpi buruk buat Maya dan seluruh pasukan produksi.
"Apabila sudah bawa naik ke atas, Maya jerit kuat sangat dan semua krew dan pasukan produksi panik. Saya boleh anggarkan dalam lima minit juga Maya berdepan situasi cemas itu.
"Saya yakin insiden itu membuatkan Maya trauma dan saya sendiri melihat rasa trauma. Boleh dikatakan insiden itu macam mimpi ngeri untuk kami semua.
"Shoot yang Maya timbul itu juga dibatalkan serta merta dan tidak dimasukkan dalam filem walaupun babak lain sudah selesai,” ujarnya.
Sekadar info, filem Duyung: Legenda Aurora bakal memulakan penggambaran pada 13 September hingga 13 Oktober 2024. Filem ini dijangka menemui penonton di pawagam pada suku tahun ketiga 2025.
Duyung: Legenda Aurora menampilkan barisan pelakon seperti Anna Jobling, Maya Karin, Saiful Apek, Ayie Floor 88, Yasmin Hani, Yassin Senario, Datuk Yusry Abdul Halim, Nadia Brian, Kumpulan Zero, Aniq Aqil dan Aidilia Hilda.
Untuk rekod, filem Duyung pernah memenangi Anugerah Khas Box Office di Festival Filem Malaysia ke-21 (FFM 21) pada 2008.
Must-Watch Video