Pendakwah bebas, Pencetus Ummah (PU) Amin meluahkan rasa rindunya untuk kembali menjejakkan kaki ke Tanah Suci Makkah membawa jemaah umrah seperti kelaziman yang dilakukannya sebelum pandemik Covid-19 melanda dunia.

Bahkan, menurut PU Amin lagi, dia juga sentiasa berharap agar dapat menghembuskan nafas terakhirnya di Tanah Suci.

"1001 cerita pahit manis. Menguruskan 100 hingga 200 manusia dalam tempoh dua minggu bukan mudah, tapi seronok sebab dapat bimbing orang ramai untuk ziarah rumah Allah.

"Saya doa nak mati di Tanah Suci. Tiap kali di Perkuburan Baqi’ rasa cemburu dengan semua yang ditanam di Perkuburan Baqi’," katanya menerusi satu hantaran yang dimuat naik di Instagram.

Pada entri tersebut, PU Amin turut memuat naik beberapa foto kenangan dirinya ketika berada di kota Makkah bagi melaksanakan tugasannya menguruskan jemaah umrah setiap tiga bulan.

A post shared by PU Amin (@pencetusummah_amin)


Katanya, kali terakhir dia menjejakkan kaki di Tanah Suci ialah pada Februari tahun lalu, sebelum ia ditutup kepada umat Islam.

"Bila waktu malam jemaah dah tidur, saya akan buat tawaf sunat. Duduk dan tidur di dataran Kaabah. Kalau di Madinah tiap malam rasa nak Allah panjangkan masa.

"Duduk tengok kubah makam Rasulullah. Termenung, tersenyum, seronok. Berkhayal kalau dapat duduk ngeteh dengan para sahabat ada Nabi sekali. Seronoknya.

"Terbayang kalau dapat tengok Nabi jalan. Terbayang kalau dapat bau perfume Nabi. Gelak sorang masa tu. Dosa banyak. Tapi teringin nak sangat rasa feel hidup zaman Nabi. Seronok berkhayal. Sekarang masih lagi berkhayal. Harap khayalan jadi kenyataan," ceritanya.

Sebelum ini, pada Mac lalu, kerajaan Arab Saudi menghalang sementara kemasukan umat Islam ke Makkah dan Madinah bagi mengerjakan ibadah umrah ekoran pandemik Covid-19.

Bagaimanapun, sekatan kemasukan antarabangsa kemudian dibuka semula secara berperingkat pada 15 September.

Sungguhpun begitu, kerajaan masih tidak bercadang untuk membenarkan jemaah Malaysia untuk menunaikan ibadah umrah selepas mendapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

BACA: "Umrah Tidak Dibenarkan Buat Masa Ini" - Muhyiddin Yassin