VIRAL
"Saya Sudah Buat Solat Taubat, Akan Bertanggungjawab Atas Cikgu Fadilah" - 'Abang CCTV & Wiring'
“Saya sudah buat solat sunat taubat dan akan bertanggungjawab ke atas cikgu Fadilah.”
Demikian kata Muhammad Hairul Ezuan Hamzah, 31, dalam rayuannya berhubung pertuduhan cuba melakukan zina dengan seorang wanita di Mahkamah Tinggi Syariah Melaka, di sini hari ini.
Muhammad Hairul yang digelar ‘Abang CCTV & Wiring’ selepas kisahnya dengan seorang guru wanita tular di media sosial membuat rayuan itu selepas mengaku bersalah di hadapan Hakim Syarie Mohd. Yunus Mohamad Zin.
Turut didakwa dalam prosiding sama ialah Nur Fadilah Zainal, 31, yang turut mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan.
Muhammad Hairul memberitahu, ekoran kejadian tular itu perniagaan pendawaian elektrik dan pemasangan televisyen litar tertutup (CCTV) yang diusahakannya turut terjejas.
“Saya merayu hukuman (berbentuk) denda ringan dikenakan kerana kerja saya terjejas. Selepas penyebaran berita itu, banyak yang tergendala.
“Saya harap Yang Arif beri pengurangan, saya telah buat solat taubat atas kesalahan zina dan saya ambil tanggungjawab ke atas Cikgu Fadilah,” katanya.
Sementara itu, Nur Fadilah merayu agar hukuman ke atasnya diringankan atas alasan dia menyara anak lelaki berusia empat tahun.
“Hak penjagaan anak ini 100 peratus atas saya, selain menanggung kedua ibu dan bapa di kampung.
“Ayah saya sakit semput dan tidak sihat, begitu juga mak. Saya janji tidak akan mengulangi kesalahan ini,” katanya dalam nada sebak.
Mengikut pertuduhan, mereka berdua didapati melakukan percubaan persetubuhan haram dengan pasangan bukan isteri atau suami yang sah di sisi syarak.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Taman Bukit Emas, Sungai Petai di sini kira-kira pukul 9 malam, 28 Februari lalu.
Oleh itu, mereka melakukan kesalahan di bawah Seksyen 52 Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991 yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum 36 bulan atau kedua-duanya.
Pendakwaan dikendalikan Ketua Pendakwa Syarie Jabatan Pendakwaan Syariah Melaka, Atras Mohamad Zin dibantu pendakwa syarie Radzwan Abdullah.
Selepas mendengar hujah dan rayuan kedua-dua belah pihak, mahkamah menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM5,000 setiap seorang atau enam bulan penjara, jika gagal membayar denda.
Sumber: Kosmo!
Must-Watch Video