Siapa kita untuk menilai orang. Kisah bayi lelaki yang ditinggalkan penjaganya dalam sebuah kotak berserta nota dan barangan kelengkapan bayi yang tular di Facebook baru-baru ini menyentuh hati.

Berlaku di Tanjung Karang, Kuala Selangor, bayi itu dijumpai oleh Ketua Guru Sekolah Agama Rakyat (SAR) Kafa Integrasi Nurul Huda, Kampung Sungai Kajang Baru, Mohd Maidin Abdul Rahim ketika dalam perjalanan ke sekolah pada 7.15 pagi.

"Saya ketika itu mahu ke sekolah untuk meninjau kerja pembersihan dan nampak kotak di pintu pagar surau yang pada mulanya menyangka ada orang membuang anak kucing…”

'Kebetulan kotak itu ditutup dengan kain biru, jadi saya ambil keputusan untuk tengok dan selak kain itu. Terkejut saya apabila melihat bayi di dalamnya…" katanya kepada Harian Metro.

Menerusi nota bertulisan tangan, penjaga kepada bayi yang baru dilahirkan seminggu dan diberi nama Muhammad Arif itu memohon maaf kerana tidak mampu membesarkan bayi terbabit atas faktor ekonomi.

"Kami mohon maaf kerana tak dapat membesarkan Muhammad Arif atas sebab ekonomi.

"Kami mohon sesiapa yang dapat dan sanggup membesarkan dia. Kami sangat-sangat berterima kasih," tulis nota tersebut.
Posted by Nur Fitri Damia on Saturday, October 24, 2020

Kata Mohd. Maidin, ini merupakan kejadian pertama berlaku di kampung tersebut dan tidak menolak kemungkinan bayi itu ditinggalkan selepas solat subuh.

Ujarnya, beberapa jemaah yang ditemui turut menyatakan tidak menyedari kehadiran kotak tersebut sebelum melaporkan ke balai polis berhampiran.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa ketika dihubungi Kosmo! mengesahkan kejadian tersebut dan bayi tersebut telah dihantar ke Hospital Tanjong Karang.

“Hasil pemeriksaan tiada sebarang kecederaan pada bayi berkenaan.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan.



Sumber: Harian Metro, Kosmo!