Aktres terkenal, Zahirah Macwilson, 25, selamat bergelar isteri kepada Aiman Hakim Ridza, 31, pada jam 9.00 tadi.

Dengan hanya sekali lafaz, majlis pernikahan Zahirah dan Aiman yang berlangsung di Mercu Mustafa Kamal, Damansara itu dihadiri oleh keluarga, sahabat handai dan rakan media.


Kedua pasangan yang sama cantik sama padan itu dinikahkan oleh bapa kandung Zahirah sendiri, yang juga seorang aktor terkenal, Zainol Macwilson.

Pengantin perempuan telah menerima RM300 sebagai mas kahwin.

Pihak pengantin lelaki memberikan lima dulang hantaran kepada pihak perempuan dan dibalas tujuh dulang oleh pihak perempuan.

Zahirah menggayakan busana hasil sentuhan pereka fesyen terkenal, Teh Firdaus dan ditatarias indah oleh set barangan kemas dari Hearts On Fire yang bernilai lebih kurang RM1,000,000. Solekan wajah yang lembut dan indah disolek oleh Bosco Ryzal.

Manakala Aiman Hakim yang juga pemilik kafe Bakersfellas di Ara Damansara itu pula memilih persalinan baju Melayu rekaan Cosry.

Pasangan raja sehari tersebut akan diraikan dalam majlis resepsi besar yang dikongsi bersama kedua dua belah pihak keluarga pada keesokan harinya di GalamHall, Mercu Mustapha Kamal, Damansara.

Terdahulu, pasangan berkenaan mengikat tali pertunangan pada 8 Jun 2019 lalu selepas 7 bulan menyelami hati budi dan menyulam cinta bersama.