Penyanyi dan pelakon Amira Othman mengakui berdepan pelbagai pengalaman baharu ketika mengerjakan ibadah haji baru-baru ini.

Selain berdoa tentang jodoh, Amira bersyukur diberikan kesihatan yang baik sepanjang berada di Tanah Suci Makkah.

"Di sana kami banyak berjalan dan jaraknya pula jauh-jauh. Sebelum pergi saya demam, batuk dan tonsil saya membengkak.

"Alhamdulillah, urusan kami di sana dipermudahkan dan biasalah kalau ditanya tentang doa, ada juga diselitkan tentang jodoh.

"Sebagai seorang anak juga saya berdoa agar diberikan peluang lagi sekali untuk ke sana bersama keluarga saya. Kalau dulu saya menunaikan umrah bersama adik sahaja.

"Sepanjang di sana saya cuba elak untuk memandang orang sebab takut terdetik. Jadi berjalan pun tunduk saja dan saya tak pakai pun kanta lekap," katanya ketika majlis pelancaran single Takkan Merubah di Red Box Pavilion, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambah Amira, dia dan Wany Hasrita bergilir-gilir menjaga diri masing-masing untuk bersolat di hadapan Kaabah.

"Bayangkan ada tiga juta orang di sana ketika itu, ketika Solat Sunat Tawaf saya sendiri kena pijak dan dilangkah disebabkan orang terlalu ramai.

"Tetapi sememangnya itulah situasinya, jadi kami bergilir-gilir menjaga satu sama lain ketika solat.

"Ketika di Raudhah pula, ada wanita Arab yang sanggup menghalang orang ramai daripada merempuh kami ketika sedang mendirikan solat di saf paling hadapan," tambahnya.

Amira dipelawa Wany untuk menunaikan ibadah haji baru-baru ini setelah dipelawa oleh kerajaan Arab Saudi.

Rezeki berpihak pada Amira apabila ibu Wany, Norita Jaafar tidak dapat turut serta.