Pelakon cantik Eyka Farhana akur apabila terpaksa melepaskan tawaran membintangi drama bersiri Pretty Little Liars musim kedua di Indonesia.

BACA: Pretty Little Liars Versi Indonesia Kini Di Astro Citra, Eyka Farhana Antara Teraju Utama

Hal itu ekoran situasi semasa pandemik COVID-19 yang semakin meruncing ketika ini.

Jelas Eyka atau nama sebenarnya Wan Atiqa Wan Sarmizi, dia sepatutnya terbang ke Indonesia pada 1 Jun lalu.

"Apabila ke sana, saya perlu menjalani kuarantin selama 14 hari sebelum memulakan penggambaran.

"Tetapi saya lebih risaukan risiko jangkitan COVID-19, jadi saya terpaksa batalkan pembabitan saya untuk drama bersiri itu.

"Malangnya penggambaran itu tak boleh ditangguhkan lagi," ujarnya kepada Gempak.

Menerusi drama Pretty Little Liars, Eyka menjayakan peranan sebagai Ema dalam musim pertama yang kemudiannya kini digantikan dengan pelakon lain dari negara republik itu.

"Saya tetap berfikiran positif dan menganggap mungkin ada rezeki lain untuk saya. Apa yang saya rugi adalah saya tidak dapat teruskan hajat untuk mengembangkan nama di Indonesia.

"Tetapi tidak mengapa, saya masih berfikiran positif dan me­nganggap ada hikmah di atas apa yang telah berlaku," katanya yang akui kecewa.

Pretty Little Liars mengisahkan tentang 5 sahabat baik, Aria, Emma, Hanna, Sabrina dan Alissa yang merupakan gadis paling popular di Universiti Amerta.

Pada malam graduasi, mereka berpesta di rumah Sabrina. Tetapi ketika mereka bangun, mereka dapati Alissa telah hilang.

Setahun kemudian, kehidupan Aria, Hanna, Sabrina dan Emma diganggu dengan mesej ugutan yang menyalahkan mereka tentang satu rahsia yang hanya diketahui oleh Alissa.

Pengirim mesej-mesej itu menggelarkan dirinya 'A'. Mereka yakin bahawa si 'A’ adalah Alissa yang telah hilang setahun lalu dan cuba mengusik mereka berempat.

Namun, tekaan mereka terus menjadi tanda tanya apabila mayat Alissa ditemui di halaman belakang vila miliknya.

Persoalannya, siapakah yang membunuh Alissa? Dan jika Alissa telah mati, siapakah 'A'?

Saksikan drama siri Pretty Little Liars di Astro Citra, saluran 108 (HD) atau 128 (SD), bermula 5 Julai, setiap hari Isnin, jam 9 malam. Anda juga boleh strim di Astro Go atau On Demand.