Ibu kepada selebriti terkenal Neelofa iaitu Datin Noor Kartini memohon doa daripada semua pihak untuk perkahwinan anaknya, Noor Nabila dengan ahli perniagaan, Engku Emran Engku Zainal Abidin.

Menerusi Instagram Stories miliknya, Noor Kartini atau nama sebenarnya Noor Kartini Noor Mohamed berkongsi momen di hari bahagia anak tercinta.

"Mohon doa yang terbaik untuk mereka," tulisnya dengan berlatarbelakangkan pelamin.



Menerusi hantaran yang berbeza, usahawan terkenal ini turut bergambar dengan Nabila dan Engku bersama suaminya, Datuk Abdul Halim Khan Lall Khan.

Mengenakan busana berwarna kelabu (grey), Noor Kartini dipeluk erat oleh Engku Emran manakala Nabila memegang tangan bapa tirinya.

Turut hadir adalah anak kandung Engku Emran iaitu Engku Aleesya yang kini berusia 11 tahun.

Nabila dan Engku Emran sah menjadi pasangan suami isteri hanya dengan sekali lafaz kira-kira jam 10.02 pagi tadi di Masjid At Taqwa, Taman Tun Dr. Ismail.

Dengan sekali lafaz, pasangan ini dinikahkan adik Nabila sendiri iaitu Mohamed Aqief berwakil walikan bapa kandungnya.

Nabila menerima mas kahwin berupa sebentuk cincin namun jumlah wang hantaran dirahsiakan.

BACA: Spekulasi Terjawab! Sah, Engku Emran & Noor Nabila Bernikah Hari Ini

BACA: "Kami Tak Pernah Bertunang Tapi Mula Berkawan Sejak..." - Noor Nabila, Engku Emran Mahu Keberkatan Dalam Rumah Tangga


Baru-baru ini, hubungan mereka hangat diperkatakan selepas masing-masing kerap memuat naik foto berbasikal bersama, sehinggakan mendapat liputan meluas media di Indonesia.

Nabila pernah berkahwin dengan pelakon Sharnaaz Ahmad, namun bercerai Julai tahun lalu. Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan anak lelaki, Jebat Jayden Ahmad.

Manakala, Engku Emran pula pernah mendirikan rumah tangga dengan pelakon popular, Erra Fazira dan pelakon Indonesia, Laudya Cynthia Bella namun berakhir dengan perceraian.

Menerusi perkahwinan dengan Erra, mereka dikurniakan anak perempuan, Engku Aleesya, manakala perkahwinan dengan Laudya tidak dikurniakan anak.