Setelah meraih pelbagai kejayaan hebat sepanjang 28 tahun karier dipersada muzik tanah air, orang ramai kini merasakan sudah tiba masanya penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza dikurniakan gelaran biduanita negara.

Tak Kejar Pengiktirafan

Mengulas lanjut perkara tersebut, Siti memaklumkan dirinya tidak terlalu mengejar pengiktirafan sebaliknya dia percaya setiap gelaran itu akan hadir dengan sendiri seiring dengan usaha keras seorang anak seni.

“Dalam satu masa, saya ucapkan alhamdulillah. Namun, dalam sisi lain pula, saya menganggap, kalau perkara itu nak terjadi atau pengiktirafan itu ingin diberikan, sampai masanya akan dapat juga,” katanya.

Hasilkan Karya Demi Peminat

Jelas pelantun lagu Wajah Kekasih itu lagi, tidak mengira yang berlaku, fokusnya hanyalah untuk menghasilkan karya terbaik selain menghiburkan para peminat yang telah menyokongnya selama ini.

“Tak perlulah saya sampai terlalu berharap sangat kerana kerja-kerja yang saya lakukan ini memang minat dan kesukaan saya.

“Malah, saya juga suka melihat peminat saya gembira. Saya pun tidaklah terlalu memikirkan sangat tentang ganjaran bila buat sesuatu perkara.

“Saya buat semua ini kerana ia menggembirkan hati saya. Saya rasa senang dan seronok bila dapat menggembirakan hati orang lain,” katanya.

Terdahulu, menerusi satu entri di laman Instagram, Siti mengakui teruja perjalanan seninya sudah pun meniti usia genap 28 tahun, hari ini.

Menurut ibu kepada dua orang cahaya mata ini lagi, perjalanan hampir tiga dekad tersebut telah mematangkan dirinya dan memberikan banyak pengajaran dalam hidup.

Malah, dikesempatan itu juga, Siti turut merakamkan ucapan penghargaan kepada semua pihak yang telah menjadi tulang belakang dan saksi kejayaannya sepanjang 28 tahun bergelar anak seni.

BERITA TRENDING: Tak Sombong Layan Peminat, Netizen Senaraikan Momen Kerendahan Hati Siti Nurhaliza - "Sampai Sekarang Teringat Nasi Goreng Ketam Dia"

BERITA TRENDING: Dituduh Tak Ikhlas Kenang Derita Anak-Anak Gaza, Ini Respon Siti Nurhaliza!