Laman Utama
“Suami Juga Dah Tegur, Baiki Diri Jadi Insan Lebih Baik” - Farahanim Mohon Maaf Pada Rita Rudaini Dan Lufya
Personaliti media sosial dan pengacara, Farahanim Razak membuat permohonan maaf secara terbuka selepas mendakwa dua jiran tertangganya iaitu pelakon Rita Rudaini dan Lufya terdiri daripada golongan artis yang antivaksin.
Menerusi hantaran terbaharu di akaun Instagramnya, Farahanim memaklumkan dia telah menghubungi pihak terbabit untuk memohon maaf atas isu tersebut.
“Selepas bermuhasabah dan merenung segala kekurangan dan kelemahan diri, Anim menerima dengan terbuka teguran-teguran ramai berkenaan isu membabitkan Anim sebelum ini.
“Atas pesan Nabi kita, Insya-Allah Anim menginsafi kelemahan dan akan baiki diri Anim untuk menjadi hambaNya yang lebih baik.
“Anim baru sahaja menghubungi pihak terbabit untuk memohon maaf dan di sini juga Anim ingin memohon maaf secara terbuka.
“Hasrat Anim hanya satu iaitu seluruh rakyat Malaysia bersatu hati menentang ancaman virus Covid19.
“Sesungguhnya kita belum menang tapi kita boleh menang bila hati kita bersatu bersama berjuang dengan penuh sabar. Sekali lagi Anim mohon maaf...Terima kasih semua...” coretnya.
Bagaimanapun Farahanim menutup ruangan komen pada hantaran berkenaan.
Terdahulu, menerusi ciapan Farahanim di Twitter, pengacara itu hanya meninggalkan teka-teki menerusi pangkal nama dua pelakon yang tinggal berhampiran dengannya.
Tulis Farahanim, pelakon terbabit didakwa menyebar dakyah antivaksin dengan merebus bunga cengkih untuk mengelakkan COVID-19.
Must-Watch Video