“Tak Patut” - Menteri Kesal Remaja Dimandikan Macam Jenazah Oleh Pengurusan Masjid!
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad berpendapat orang ramai termasuk pengurusan masjid tidak sepatutnya melaksanakan sebarang bentuk hukuman sendiri terhadap individu disyaki mencuri.
Menurutnya, meskipun perbuatan mencuri atas apa alasan sekalipun dilarang agama, orang ramai tidak sepatutnya bertindak sendiri kerana ia boleh menyebabkan kezaliman terhadap individu disyaki.
"Perbuatan orang ramai termasuk pengurusan masjid mengambil tindakan dan hukuman sendiri terhadap orang disyaki adalah tidak wajar.
"Perkara seumpama ini sepatutnya diserahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya," katanya sebagai mengulas isu tular membabitkan seorang remaja dimandikan seperti jenazah selepas ditangkap cuba mencuri tabung masjid.
Jelas Idris, beliau menasihatkan orang ramai termasuk pihak pengurusan masjid agar tidak terjebak dengan sentimen tertentu atau cuba mengambil tindakan sendirian sehingga menyebabkan kezaliman kepada orang disyaki.
Menurutnya, perbuatan merakam gambar orang disyaki bagi tujuan sebaran awam adalah suatu perkara amat tidak wajar.
"Semoga perkara ini menjadi pengajaran dan iktibar kepada kita semua dalam menyantuni masyarakat di sekeliling kita," katanya.
Terdahulu, tular di media sosial aksi seorang lelaki yang difahamkan menyimbah air ke badan seorang lelaki yang didakwa mencuri tabung masjid.
Datuk kepada remaja tersebut iaitu Rosli Sidek sebelum ini turut mengakui meminta Ahli Jawatankuasa (AJK) Masjid Al Islahiah Kuang untuk membuat laporan polis terhadap cucunya itu.