Pengarah dan penerbit filem, Ahmad Idham bertindak untuk tidak memberi respon kepada netizen yang telah mengkritik pelantikannya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

Menurut Idham, sepatutnya keputusan terbabit tidak boleh dipertikaikan selagi dia belum menjalankan tugasnya.

“Siapa mereka untuk mempersoalkannya? Setakat ini, hampir semua orang di dalam industri telah memberi kata-kata yang menyokong saya.

“Saya lebih melihat ini sebagai agenda politik sahaja kerana saya tidak mengenali mereka dan tidak tahu bagaimana hendak respon terhadapnya.

“Bagaimana mereka boleh mempersoalkan kredibiliti saya sedangkan saya belum menjalankan tugas ini pun lagi.

“Pada saya mudah sahaja jika tak puas hati, datang jumpa saya. Kita boleh berbincang secara professional kerana konsep saya adalah mahu lebih telus dan lebih bersikap keterbukaan,” katanya ketika dihubungi Gempak.

Terdahulu, sebahagian pengguna media sosial menyindir dan mempersoal pelantikan pengarah filem itu, yang diumum oleh Gobind Singh Deo dan berkuat kuasa selama dua tahun.

Idham berkata dengan pelantikan tersebut, dia harap dapat membantu pembanggunakan ekonomi industri perfileman.

“Bagi saya ini amanah atau tanggungjawab berat yang perlu saya pikul.

“Ini adalah masa yang ditunggu-tunggu kami sebagai orang dalam industri kerana selama ini kami tidak pernah diberi peluang sebegini.

“Saya harap, saya dapat membangunkan lagi ekonomi industri filem dan pawagam di Malaysia,” katanya lagi.

Gobind Singh Deo dalam satu kenyataan hari ini berkata, pelantikan itu adalah keputusan Lembaga berdasarkan peruntukan dalam Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981 bagi menggantikan pemangku, Shakib Ahmad Shakir yang menjalankan tugas sejak empat bulan lalu.

Ahmad Idham yang sudah 25 tahun berada di dalam industri sebagai pelakon, pengarah dan penerbit filem itu mempunyai Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM).